Tuesday, December 8, 2015

Tambisan: Satu Petempatan Terawal Suku Kaum Suluk Di Sabah.


Oleh
Mohd Zambri Bin Suharani, Mohd Faizal Rashid dan Amrullah Maraining

Artikel ini memfokuskan sejarah  petempatan suku kaum suluk di Tambisan sebagai salah satu petempatan suku kaum suluk yang terawal di Sabah. Masyarakat umum kurang mengetahui tentang kewujudan petempatan Suluk di Tambisan disebabkan lokasinya yang sangat terpencil daripada masyarakat umum. Kewujudan perkampungan di Tambisan telah membuktikan bahawa suku kaum Suluk telah lama bertapak di Sabah. Oleh itu, artikel ini cuba merungkai peranan yang dimainkan oleh kampung Tambisan sebagai salah satu petempatan terawal kaum Suluk di Sabah. Selain itu, artikel ini akan mengkaji perkembangan masyarakat Suluk di kampung Tambisan dari aspek ekonomi, sosial dan politik.

Kata kunci: Petempatan, Suluk, Tambisan

Pengenalan
Petempatan menurut ahli geografi adalah  merangkumi unsur-unsur kebendaan, termasuk binaan dan lebih penting lagi perumahan, orang yang tinggal dan bekerja dalam sesebuah kawasan. Petempatan memainkan peranan penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat atau komuniti. Masyarakat Suluk secara umumnya mengetahui tentang pentingnya penstrukturan petempatan, kawasan atau wilayah untuk tujuan keselamatan dan pembangunan sesuatu kawasan. Sebagai contoh pada zaman Kesultanan Sulu, Borneo Utara (Sabah) telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan. Kawasan ini pula ditadbir oleh beberapa orang Ketua yang terdiri daripada Datu, Syarif, Tuan dan Pangeran.
 
    Kawasan pertama adalah Wilayah Marudu yang diketuai oleh Syarif Osman. Wilayah ini meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan di Teluk Sandakan. Kawasan kedua ialah Wilayah Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol (Sungai Sandakan), Datu Bandar (Pangeran) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai). Wilayah ini meliputi kawasan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan (Tingkayu), sehingga ke Sungai Apas. Kawasan yang terakhir ialah Wilayah Tirun yang ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan (Sebuah daerah di Teluk Darvel). Wilayah ini menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Perkampungan Suluk di Tambisan merupakan salah satu petempatan  Suluk yang telah lama wujud di Sabah. Kewujudan petempatan ini hanya menjadi tumpuan umum selepas Ops. Daulat yang dilancarkan oleh kerajaan. Oleh itu, artikel ini cuba mengalur sejarah kewujudan petempatan kaum Suluk di Tambisan.

Latar belakang Tambisan
Secara geografinya, Tambisan terletak di kedudukan latitude 5.46  dan longitude 119.15 yang terletak di hujung peta negeri Sabah. Tambisan ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Tambisan Pulau, Tambisan Darat dan Tambisan Laut. Pada ketika ini, bilangan keseluruhan penduduk Tambisan melebihi  1368 orang yang terdiri daripada beberapa kampung seperti Sungai Nipah, Tagupi, Tambisan Darat dan lain-lain. Manakala demografi penduduknya pula, majoriti penduduknya adalah Suluk dan terdapat sebilangan kecil suku kaum Bugis, Cina dan lain-lain. Majoriti penduduk kampung Tambisan terdiri daripada nelayan dan sebilangan kecil mereka terlibat dalam perniagaan, penternakan, perladangan dan lain-lain.

Peta 1: Kedudukan Tambisan dalam peta Sabah
C:\Users\user\Desktop\Tambisan.jpg

Asal usul nama Tambisan
Menurut Imam Mansor, nama Tambisan diperoleh daripada dua cerita atau versi yang saling berkaitan. Versi pertama, menurut Imam Mansor, semasa Panglima Tumikbi membersihkan pulau Tambisan, mereka menemui pohon yang lebat buahnya. Orang Melayu mengelar pohon tersebut sebagai Jambu Air Mawar dan orang Suluk mengelar Tambis. Manakala bagi versi kedua. menurut encik Hassan, nama Tambisan ini adalah berasal daripada seorang lelaki bernama Tambi dan seorang wanita bernama San. Apabila mereka berkahwin, maka muncul la nama Tambisan. Namun Imam Mansor versi yang diceritakan oleh beliau sedikit berbeza dengan Encik Hassan. Menurut beliau, ada seorang bangsa Tambi (India) datang menjual kain di Tambisan. Ramai yang membeli kain tersebut sama ada secara tunai ataupun berhutang. Dalam kalangan pembeli tersebut, terdapat seorang bernama Sandaing Mebana yang berbangsa bugis membeli kain dari orang Tambi tersebut secara berhutang. Pada bulan berikutnya, orang Tambi tersebut datang untuk menuntut hutang kainnya daripada Sandaing, namun Sandaing tidak dapat membayar hutang tersebut dan akhirnya mereka bertengkar.

Semasa Panglima Tumikbi memohon tanah di pejabat daerah di Lahad Datu, Rasdin Muji selaku Ketua Pejabat Daerah ketika bertanyakan nama pulau tersebut. Panglima Tumikbi meletakkan nama pulau tersebut sebagai Tambisan dengan mengabungkan dua versi cerita tersebut.

Sejarah pembukaan Tambisan
Sekitar tahun 1818, Tumikbi bersama dua orang saudaranya iaitu Imam Laja dan Mandaing yang berasal dari Pulau Libaran telah datang ke kawasan pulau Tambisan untuk mencari tanah baru untuk bercucuk tanam. Hal ini kerana, ketika itu pulau Libaran telah mempunyai penduduk yang ramai dan tanah untuk bercucuk tanam semakin kurang. Kemudiannya mereka menemui sebuah pulau yang tidak berpenghuni, sangat cantik dan mempunyai dua jenis tanah iaitu tanah merah dan tanah pasir. Selepas menemui pulau tersebut, Tumikbi pulang semula ke pulau Libaran dan terus mengadakan mesyuarat untuk membawa penduduk kampung ke pulau itu semula. Keputusan mesyuarat itu, seramai 12 orang telah bersetuju untuk mengikuti Tumikbi selaku ketua rombongan bagi ke pulau Tersebut.

Apabila mereka tiba di Tambisan Pulau, mereka terus membahagi-bahagi tanah di Tambisan Pulau dan sekali gus membersihkan tanah yang mereka peroleh. Mereka kembali semula ke Libaran untuk mengambil benih kelapa, pisang dan ubi kayu, seterusnya benih tersebut ditanam di Tambisan Pulau. Tanaman mereka menjadi subur dan membekalkan makanan harian kepada mereka. Dalam beberapa tahun kemudian, kebanyakan mereka yang berpindah ke Tambisan Pulau telah mengalami sakit yang berpanjangan. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Libaran serta meninggalkan kebun mereka. Beberapa tahun kemudian, bapa tiri Imam Mansor iaitu Mandaring bersama birasnya iaitu Imam Laja (salah seorang daripada 12 orang yang membuka kampung Tambisan pada tahun 1818) mahu ke kepulauan Suluk (Filipina) untuk membeli beras. Mereka singgah di Tambisan untuk melihat tanaman mereka. Setelah berfikir panjang, mereka mengambil keputusan untuk kembali ke Tambisan dan melantik ketua kampung Tambisan yang pertama iaitu Panglima Tumikbi, oleh itu bermulanya petempatan suku kaum Suluk di Tambisan.

Sistem Pentadbiran Kampung Tambisan
Selepas perlantikan Panglima Tumikbi sebagai ketua kampung, beliau telah ke Lahad Datu untuk memohon tanah yang telah mereka bahagikan di District Office. Rasdin Muji berbangsa British yang bertugas pada ketika itu, telah meluluskan permohonan tersebut. Selepas Panglima Tumikbi meninggal dunia, beliau telah diganti oleh Said bin Tahir.

Sejak pemerintahan British, pusat pentadbiran Tambisan sering kali berubah-ubah. Pada asalnya, Tambisan Pulau di letak di bawah pentadbiran daerah Lahad Datu.Kemudiannya, pentadbiran Tambisan diambil alih oleh Kinabatangan. Apabila Kinabatangan di landa banjir, pentadbirannya diambil alih oleh Bukit Garam semasa pentadbiran Arwah Pangeran Galpam. Kemudian, pentadbiran Tambisan ini beralih arah ke Sandakan kerana di ambil oleh YB Haji Ampong Puyon. Namun apabila BERJAYA menang dalam pilihan raya, YB Kulna mengambil alih Tambisan dan di letak di bawah Bukit Garam. Selang beberapa tahun, pentadbiran Tambisan Pulau diambil alih oleh Kinabatangan. Akhir sekali, apabila wujudnya daerah Tungku, pentadbiran Tambisan kini terletak di bawah Lahad Datu. Perubahan pusat pentadbiran ini disebabkan oleh suasana politik di Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu.

Perubahan pusat pentadbiran Tambisan juga memberikan kesan kepada Ketua Anak Negeri (KAN). Semasa Tambisan Pulau di letak di bawah pentadbiran  Daerah Lahad Datu, Panglima Nalaja @ Buaya Bin Noh merupakan KAN Tungku yang pertama. Setelah pentadbirannya diambil alih oleh Sandakan, KAN diganti oleh Arjani Bin Abantas. Selang beberapa tahun apabila pentadbiran Tambisan di ambil alih olehKinabatangan, KAN Arjani diganti oleh KAN Nusur. Apabila KAN Nusur meninggal dunia, beliau digantikan oleh Moktar B. Zakaria.

Pada zaman British, ketiadaan polis ketika itu menyebabkan pihak British melantik penduduk tempatan iaitu Alawanga Bin Mantas sebagai kerani dan Polis di Tambisan. Pada ketika itu, bangunan balai polis hanya bertiangkan kayu, beratap dan berdinding nipah serta berlantai nibung. Selepas beberapa tahun bangunan tersebut diganti dengan dinding dan lantai dari papan dan atapnya diperbuat daripada kayu Belian.  Kerani pertama yang dilantik di Pejabat Daerah Kecil Tambisan ialah Jata yang berasal dari daerah Lahad Datu. Beliau berpendidikan Darjah 2 dan atas usaha beliau telah membina sebuah sekolah di Tambisan. Beliau telah mengajar seramai 22 orang pelajar dengan menulis di papan batu. Setelah itu, Jata telah diganti dengan Tun Sakaran Dandai (Mantan TYT Sabah). Selepas perkhidmatan Tun Sakaran diganti dengan Sahari bin Tulis. Agta menggantikan Sahari apabila beliau ditukar ke Kinabatangan. Seterusnya, Agta diganti oleh Mohd Jamari dari Lahad Datu apabila Agta ditukar kerja ke Marin Department sebagai Kapten. Apabila Mohd Jamari meninggal dunia, beliau diganti oleh Mudreka bin Agil. Selepas tahun 90-an pejabat daerah kecil di Tambisan telah ditutup tetapi bangunannya masih wujud sehingga ke hari ini.

Sejarah perkembangan agama Islam di Tambisan
Perkembangan agama Islam di Tambisan bermula apabila seorang ulama Yaman bernama Tuan Sheikh Abdul Ghani pergi Terengganu dan telah berkahwin dengan gadis Terengganu bernama Fatimah dan dikurniakan seorang anak bernama Ahmad. Kemudiannya Tuan Sheikh telah berhijrah ke Sandakan dan menetap di Tanah Merah dan mengajar di Masjid. Sarabi B. Sakbani selalu ke sana untuk belajar mengaji.  Kemudiannya mereka bertanya kepada Tuan Sheikh, sama ada beliau mahu memiliki tanah dan kebun. Tuan Sheikh mengatakan mahu dan bertanya di mana kawasan tersebut. Mereka mempelawa Tuan Sheikh mengajar di Tambisan dan Tuan Sheikh diberikan sebidang tanah. Tanah tersebut mereka yang akan usahakan tanpa sebarang bayaran, asalkan Tuan Sheikh mahu mengajar agama Islam di Tambisan.

Tuan Sheikh kemudiannya datang dan melihat tanah tersebut, beliau sangat berpuas hati kerana subur dan mengatakan untuk menetap di Pulau Tambisan. Sepanjang tuan guru berada di Tambisan, beliau telah membantu dan memperkembangkan ajaran Islam dan mengajar orang-orang kampung mengaji Al-Quran, solat, Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Sebagai balasan atas kesudian Tuan Sheikh mengajar agama, anak murid Tuan Sheikh akan bergilir-gilir dalam  mengusahakan tanah Tuan Sheikh dan belajar agama. Sejak kedatangan Tuan Sheikh ke Tambisan, agama Islam terus berkembang pesat.



Perkembangan infrastruktur di Tambisan.
Tambisan juga memiliki beberapa infrastruktur yang disediakan untuk kemudahan penduduknya. Pada peringkat permulaan, Tambisan Pulau mempunyai pejabat daerah kecil sebelum dimansuhkan pada tahun 90an. Selain itu Tambisan Pulau juga mempunyai sekolah rendah yang paling tua bagi daerah Kinabatangan. Penambahan bangunan balai polis, surau dan dewan serba guna memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk di sekitarnya.

Manakala Tambisan Darat pula menerima pelbagai kemudahan seperti bangunan KO-Nelayan bagi tujuan perikanan, surau, padang futsal,jeti, klinik dan lain-lain. Kemudahan ini dapat memberikan kemudahan kepada penduduk tanpa perlu ke tempat lain untuk mendapatkan perkhidmatan.

Pada tahun 2012, sebuah jalan raya bertar yang menghubungkan Tambisan dengan Bandar Hamparan Badai (Petempatan FELDA). Pembinaan jalan raya sekali gus memudahkan Tambisan untuk dihubungi dari luar. Selain itu, projek pemasangan tenaga solar yang bermula pada tahun 2008 bertujuan membekalkan bekalan elektrik di Tambisan telah berfungsi sepenuhnya pada tahun 2012. Keadaan ini telah banyak memberikan manfaat besar kepada penduduk di Tambisan.

Rumusan
Sejarah telah terpahat bahawa, Tambisan merupakan salah satu petempatan terawal masyarakat Suluk di Sabah sejak dahulu lagi. Namun  seperti petempatan luar bandar yang lain yang memerlukan suntikan pembangunan. Walaupun pelbagai kemudahan telah diberikan kepada penduduk di Tambisan, pembangunan yang berlaku di kalangan masyarakatnya masih lagi bergerak perlahan. Tambahan pula kebanyakan golongan muda telah keluar dari kampung tersebut mencari pekerjaan di bandar menyebabkan petempatan ini kurang berkembang. Namun petempatan ini menyimpan pelbagai khazanah yang belum terungkai sama ada daripada sejarah, pembentukan masyarakat dan sumber alamnya.


Rujukan

Hatta Yunus Sawabi. 2011. Masyarakat Suluk Cabaran dan Harapan dalam Etnik Suluk, Menjana Transformasi. Crescent News: Selangor.
Lee Yong Leng. 1982. Sabah satu kajian Geografi Petempatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Profil Kg. Pulau Tambisan, KK Abd. Wahab Bin Ismani.
Temu bual dengan Abd. Wahab Bin Ismani. Ketua Kampung Tambisan Darat. 5 Disember 2013
Temu bual dengan Imam Mansor  Bin Sarabi 17 Mac 2014. Imam Tambisan Pulau, 75 tahun.

FUNGSI DAN PERANAN ESSCOMDALAM MENJAMIN KESELAMATAN SABAH: Satu Perbandingan Persepsi antara Komuniti ‘Luar’ dan Komuniti ESSZONE


Satu Perbandingan Persepsi antara Komuniti ‘Luar’ dan Komuniti ESSZONE

Mohd Zambri Suharani[1]
Ramli Dollah

Makalah ini bertujuan untuk melihatperbandingan persepsi ‘orang luar’ dan juga penduduk di Pantai Timur Sabah (atau dikenali sebagai komuniti ESSZONE) terhadap penubuhan dan fungsi ESSCOM dalam menjamin keselamatan penduduk terutamanya di wilayah ESSZONE. Makalah memfokuskan kepada beberapa kawasan di gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu yang meliputi beberapa kawasan seperti Felda Sahabat, Lok Buani dan Tambisan. Makalah ini melihat bahawa ESSCOM ditubuhkan untuk menjamin keselamatan penduduk dalam komuniti ESSZONE. Oleh itu, apapun persepsi yang wujud mengenai penubuhan ESSCOM, makalah ini melihat ianya perlu dilihat dari perspektif ‘orang dalam’ iaitu komuniti ESSZONE sendiri. Makalah mendapati bahawa penubuhan ESSCOM adalah sangat penting dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan terbabit. Persepsi ini berbeza dengan persepsi sebahagian masyarakat luar yang melihat penubuhan ESSCOMsebagai satu ‘pembaziran’, ‘projek gajah putih’ dan ‘patut dibubarkan’.Dalam menyiapkan makalah ini, kaedah temubual dan borang soal selidik sebagai sumber utama dalam mendapatkan data di samping kaedah penyelidikan arkib, internet dan perpustakaan digunakan bagi menyokong hujah yang dinyatakan.

            Kata kunci: ESSCOM,ESSZONE,keselamatan, Lahad Datu, komuniti, persepsi.

Pengenalan

Sejak penubuhan Eastern Sabah Security Command(ESSCOM) pada tahun 2013,terdapat pelbagai persepsi dan pandangan penduduk ke atas penubuhan dan fungsi ESSCOM dalam menjamin keselamatan penduduk. Dengan jumlah perbelanjaan yang tinggi setiap tahun diberikan kepada organisasi ini dan kegagalan ESSCOM dalam menyelesaikan beberapa masalah penculikan di kawasan terbabit, menyebabkan organisasi ini dilihat sebagai gagal berfungsi dan mencapai matlamat penubuhannya. Malahan terdapat kumpulan, terutamanya daripada masyarakat luar seperti ahli politik, warga internet atau masyarakat bandar yang melihat bahawa ESSCOM sebagai ‘projek gajah putih’ yang hanya merugikan negara kerana jumlah perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk membiayai badan ini terutamanya dalam menangani masalah di kawasan Eastern Sabah Security Zone atau Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE). Namun bagi penulis, persepsi komuniti ‘luar’ ini tidak cukup dalam memahami dan menghukum ESSCOM kerana persepsi masyarakat dalam wilayah ESSZONE, di mana ESSCOM ini ditubuhkan juga perlu dilihat untuk memahami isu ini secara menyeluruh. Penulis melihat bahawa hanya apabila komuniti ESSZONE ini melihat bahawa ESSCOM gagal mencapai fungsi dan matlamat penubuhannya, maka ia boleh dianggap sebagai kegagalan badan ini dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

Untuk tujuan tersebut, makalah ini membincangkan mengenai persepsi dalam kalangan komuniti ‘luar’ dan komuniti ESSZONE terhadap fungsi dan peranan ESSCOM dalam menjamin keselamatan di kawasan terbabit daripada ancaman luar. Bagi memudahkan perbincangan, makalah ini akan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Pertama, melihat mengenai latar belakang ESSCOM dan ESSZONE; kedua, melihat persepsi penubuhan serta fungsi dan peranan ESSCOM dalam menjamin keselamatan negeri Sabah terutamanya dalam kalangan komuniti ‘luar’; ketiga, melihat persepsi dalam kalangan komuniti ESSZONE terhadap peranan dan fungsi ESSCOM dan akhir sekali kesimpulan. 

Persepsi dan Politik Malaysia

Secara umumnya, persepsi boleh dikatakan sebagai pandangan individu terhadap persekitaran yang didorong oleh persekitarannya. Dengan kata lain, persepsi adalah pandangan berdasarkan apa yang kita lihat terhadap persekitaran dan juga melalui pengalaman.[2] Selain itu, persepsi juga didefinisikan sebagai gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (melalui pancaindera) atau tanggapan.[3] Antara lain ialah persepsi pada kebiasaannya melihat bagaimana individu mempunyai pandangan yang berbeza ke atas sesuatu peristiwa atau keadaan yang mungkin sama. Sesuatu yang baik bagi seseorang tidak semestinya baik bagi orang lain yang menilainya. Keadaan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor misalnya faktor individu yang memberikan penilaian tersebut, objek atau individu yang dinilai dan situasi semasa atau konteks yang berlaku semasa penilaian tersebut dibuat.[4] Oleh itu, makalah ini berhujah bahawa persepsi adalah satu tindakan atau reaksi memilih, mengurus dan mentafsir sesuatu peristiwa atau keadaan di persekitaran manusia berdasarkan rangsangan yang diterima hasil daripada pengalaman, pengetahuan, dan persekitaran di sekeliling mereka.

Dalam konteks politik Malaysia pada hari ini, pengukuran persepsi sangat penting dalam memahami penerimaan sesuatu dasar dan polisi yang dijalankan oleh kerajaan. Malahan dalam banyak keadaan, persepsi ini kelak akan dijadikan ukuran dalam menilai sama ada sesuatu dasar tersebut diterima oleh masyarakat umum atau tidak. Masalah yang berlaku dalam menilai persepsi ini adalah berkait dengan persoalan metodologi, terutamanya dalam menentukan kumpulan sasaran terhadap sesuatu dasar tersebut. Dalam hal ini, penulis melihat bahawa ESSCOM diwujudkan untuk memenuhi keperluan keselamatan kepada komuniti ESSZONE, oleh itu adalah wajar untuk melihat persepsi, pandangan atau pendapat komuniti ESSZONE terhadap fungsi, peranan dan keberkesanan ESSCOM dalam menjamin keselamatan negeri Sabah. Makalah ini melihat bahawa persepsi dalam kalangan komuniti ESSZONE merupakan elemen yang perlu diberikan perhatian khusus dalam menilai keberkesanan fungsi dan peranan ESSCOM dalam menangani isu keselamatan yang berlaku di kawasan pantai timur Sabah. Namun, bagi melihat persepsi mengenai ESSCOM ini daripada sudut yang menyeluruh, makalah ini akan melihat perbandangan persepsi masyarakat mengenai fungsi dan peranan ESSCOM dalam kalangan komuniti ‘luar’dan juga komuniti ESSZONE sendiri.

Penubuhan ESSCOM dan langkah memperkasa ESSZONE

Lanjutan daripada peristiwa pencerobohan Tanduo, pada 7 Mac 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa lawatannya ke Lahad Datu, mengiyistaharkan Kawasan Pantai Timur Sabah sebagai ‘Kawasan Keselamatan Khas’ (SSA - Special Security Area). Seterusnya dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Musa Aman pada 11 Mac menyetujui untuk menukarkan nama SSA kepada kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).[5] ESSCOM yang berpusat di Lahad Datu ini menjadi merupakan pusat kepada kawasan operasi pembersihan saki-baki pengganas Sulu yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari 2013. Selepas insiden Tanduo, ESSCOM bertanggungjawab mengkoordinasi operasi, pengumpulan maklumat risikan, pengendalian aset-aset keselamatan, pengurusan anggota-anggota keselamatan dan memastikan kawasan perairan Sabah selamat dari ancaman luar.[6] ESSCOM mengabungkan beberapa agensi keselamatan di bawah satu payung. Antara agensi yang terlibat adalah seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kastam diraja Malaysia dan Imigresen yang diletak di bawah satu pentadbiran dan arahan pusat yang sama.

Lanjutan daripada penubuhan ESSCOM yang dilihat bakal memberikan jaminan keselamatan kepada penduduk di kawasan pantai Timur Sabah, maka pada 25 Mac 2013, Perdana Menteri Najib Tun Razak, dalam ucapannya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sempena peringatan Hari Polis ke-206 di Kuala Lumpur, mengumumkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) yang meliputi 10 daerah di Pantai Timur Sabah.[7] Antara kawasan yang terlibat dalam ESSZONE ini meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Penduduk dan masyarakat yang berada dalam wilayah ESSZONE ini dikenali sebagai komuniti ESSZONE.[8] Kewujudan wilayah ESSZONE selaras dengan situasi perairan pantai timur Sabah yang terdedah dengan ancaman keselamatan yang wujud dari kawasan selatan Filipina. Ini dijelaskan sendiri oleh Penglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada tahun 2013 yang menyatakan bahawa ‘Accusations that ESSCOM and ESSZONE were created for political interests are very counter-productive. Its main objectives are to ensure security and protect the interests of the people’.[9]Rajah di bawah menunjukkan kawasan-kawasan di Pantai Timur Sabah yang terlibat dalam pengawalan ESSCOM.



Rajah: Kedudukan Pantai Timur Sabah
Sumber: James Collins, Ramli Dollah & Zaini Othman, “Pengaruh Persekitaran Fizikal Geografi Terhadap Keterancaman Persempadanan Pantai Timur Sabah”, manuskrip yang tidak diterbitkan, 2014



Bagi memastikan kejayaan ESSCOM, kerajaan menggariskan beberapa perkara penting yang perlu diambil untuk memastikan kejayaan organisasi tersebut dalam mencapai matlamatnya. Pada April 2013 misalnya, Najib menggariskan empat perkara penting bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan ESSCOM dalam memberikan perlindungan kepada komuniti ESSZONE. Empat elemen tersebut adalah pertama, meningkatkan kemampuan perisikan; kedua, pemantauan pengawalan pantai untuk 24-jam sehari; ketiga, meningkatkan kemampuan Negara untuk memintas sebarang ancaman dari laut dan keempat, penguatkuasaan undang-undang yang ketat dengan tindakan pantas ke atas ancaman tersebut.[10]

Selain itu, untuk tujuan memperkasakan ESSCOM dan keselamatan di wilayah ESSZONE, beberapa inisitif telah dilakukan oleh kerajaan. Dalam bajet 2014 misalnya, ESSCOM mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM75 juta bagi tujuan pengurusan dan RM2.4 juta untuk membeli peralatan dan kelengkapan pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Manakala dalam bajet tahun 2015, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM17.7 billion ringgit untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sementara sebanyak RM9.1 billion ringgit diperuntukkan untuk Polis Diraja Malaysia. Sejumlah RM804 juta juga diperuntukkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengukuhkan penguatkuasaan maritim.[11] Selain itu, dalam Bajet 2015 juga kerajaan telah memperuntukkan RM660 juta untuk menubuhkan dua batalion baru iaitu Kem Batalion PGA PDRM akan ditubuhkan kawasan ESSZONE iaitu di Beluran, Sandakan dan Kem batalion Tentera Darat akan ditubuhkan di FELDA Sahabat.[12] Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM230 juta untuk menggunakan satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah kapal auxiliary sebagai Sea basing di perairan ESSZONE melalui program tanggungjawab sosial atau CSR Petronas. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Isu dana atau belanjawan untuk ESSCOM ini menjadi semakin sensasi apabila insiden penculikan terus berlaku di wilayah ESSZONE walaupun beberapa usaha telah dilakukan untuk memperkasakan ESSCOM. Pada 15 November 2013 misalnya, Hsu Li Min, 57 tahun seorang pelancong dari Taiwan telah ditemui mati dengan dua kesan tembakan di dadanya di pusat peranginan di Pulau Pom-Pom, Semporna. Manakala teman wanitanya, Chang An Wei, 58 tahun telah diculik dan dijadikan tebusan kumpulan penculik yang dipercayai dari selatan Filipina. Chang kemudiannya dibebaskan pada bulan Disember selepas sejumlah wang tebusan dibayar kepada penculik.[13]Akhbar Taiwan menganggarkan bahawa sejumlah RM80,000 (12 juta Peso atau 8 juta dollar Taiwan dollars) wang tebusan telah dibayar kepada penculik.[14]Kemudiannya pada 2 April 2014, berlaku satu lagi kes penculikan yang membabitkan Gao Huayun, pelancong dari negara China dan seorang pekerja Filipina, Marcy Dayawan diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata di resort Singamata, Semporna. Keadaan ini tidak tamat di situ sahaja kerana kes penculikan terus berlaku di kawasan ESSZONE walaupun berlakunya peningkatan kelengkapan dan belanjawan oleh kerajaan untuk memperkasakan ESSCOM. Pada 7 Mei 2014 misalnya, Yang Zailin, seorang warganegara China yang merupakan pengurus penternakan ikan di pulau Baik, Lahad Datu dilarikan sekumpulan lima lelaki bersenjata dipercayai dibawa ke selatan Filipina.[15]

Pada 16 Jun, kumpulan bersenjata ini menyerang ladang ikan di Kampung Sapang, Kunak dan menculik pengurus syarikat, Chan Sai Chuin, 32.[16]Lebih membimbangkan apabila, bukan sahaja pelancong yang menjadi tawanan kumpulan ini, tetapi juga para pegawai polis turut menjadi mangsa kepada kumpulan bersenjata ini. Misalnya pada 12 Julai 2014,  Kopral Ab Rajah Jamuan ditembak mati manakala rakan sejawatnya Konstable Zakiah Aleip, diculik dari pusat peranginan di Mabul Water Bungalows Resort, Semporna. Lanjutan daripada persitiwa tersebut, kerajaan bertindak mengenakan perintah berkurung di enam kawasan perairan di pantai timur Sabah ini bagi mengekang kehadiran kumpulan bersenjata seperti ini.Perintah berkurung yang berlangsung di kawasan perairan ESSZONE ini telah berlangsung sejak 19 Julai 2014 yang bermatlamat untuk membolehkan pihak berkuasa mengawal kawasan ini secara lebih ketat bagi mengelakkan berlakunya penculikan di kawasan terbabit.[17]


Persepsi Masyarakat ‘Luar’ Tentang penubuhan dan Keberkesanan ESSCOM

Semasa pengumuman mengenai penubuhan ESSCOM, ramai pihak menyambut baik cadangan penubuhannya dalam menjamin keselamatan komuniti ESSZONE. Hal ini kerana, selepas peristiwa Tanduo pada tahun 2013, keperluan terhadap keselamatan di Sabah dilihat sangat mendesak. Perkara ini dipersetujui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datu Nasrun Datu Mansur yang berkata kehadiran pasukan keselamatan di Lahad Datu akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka.[18] Malahan hal yang sama turut diakui oleh pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Ray Kyles pada September 2014 yang melihat penubuhan ini merupakan langkah bijak kerajaan Malaysia dalam berhadapan dengan ancaman luar.[19] Hal yang sama turut diakui oleh beberapa penduduk yang ditemubual di Lahad Datu, lokasi kejadian insiden Tanduo. Salah seorang daripada individu yang ditemubual adalah Tuara Mol (60 tahun) yang menyatakan bahawa semenjak pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 2013, kehidupan penduduk di Lahad Datu tidak lagi tenteram. Setiap hari mereka merasa tidak selesa dan rasa bimbang akan keselamatan mereka. Oleh itu, perasaan bimbang akan wujudnya ancaman seperti insiden ini dapat dikurangkan sekurang-kurangnya melalui kehadiran anggota keselamatan dan tentera di kawasan terbabit.

Namun, pandangan Tuara ini mungkin tidak dikongsi oleh ramai pihak terutamanya oleh penduduk-penduduk yang bukan berasal dari kawasan ini. Dalam tulisan ini, kumpulan tersebut dikenali sebagai ‘orang luar’. Dalam hal ini, terdapat sesetangah pihak luar ini yang melihat penubuhan ESSCOM ini sebagai sesuatu yang tidak perlu, dipandang serong malahan diperlekehkan oleh sesetengah pihak. Persepsi seperti ini adalah jelas dalam kalangan penduduk yang mendiami kawasan bandar, komuniti internet, ahli politik dan sebagainya. Sesetengah pihak melihat bahawa ESSCOM hanyalah merupakan langkah jangka pendek untuk menjamin keselamatan negeri Sabah.[20] Pandangan ini diutarakan kerana dari aspek ekonomi di mana kehadiran pasukan keselamatan terutamanya di kawasan pelancongan adalah petanda yang tidak baik berkenaan keselamatan di kawasan tersebut. In jelas terutamanya apabila berlakunya penurunan jumlah pelancong di negeri Sabah, terutamanya di kawasan pantai timur Sabah akibat daripada keadaan yang berlaku ini.[21]

Akibatnya ESSCOM dikritik sebagai satu kegagalan dalam mengurusakan keselamatan kepada Negara. Pada November 2013, pengerusi State Reform Party (STAR), Jeffrey Kitingan ketika mengkritik penubuhan ESSCOM ini berhujah bahawa kerajaan gagal dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan ini.Sambil memandang rendah penubuhan ESSCOM ini, beliau berkata ‘With the creation of Esscom, the placement of seven battalions, the government is saying we are very secure, (but) where is the security? … It shows that this measure taken has not been effective’.[22] Sementara itu, ahli parlimen Penampang, Sabah dari PKR, Darell Leiking menyatakan bahawa kegagalan mengekang isu penculikan ini menyebabkan penubuhan ESSCOM dianggap sebagai ‘total failure’ dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan terbabit.[23]

Dalam masa yang sama, Lim Guang Eng, Menteri Besar Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa kegagalan mengekang beberapa siri insiden penculikan di Pantai Timur Sabah merupakan kegagalan besar kerajaan dan kegagalan ESSCOM sebagai badan yang dipertanggungjawabkan mempertahankan negara ini. Menurut beliau,

‘No amount of damage control or spinning by the Barisan Nasional government can hide the fact that Esscom's attempts at maintaining security have failed miserably’.[24]

Selain itu, lanjutan daripada insiden yang berlaku pada April 2014, beberapa orang ahli Parlimen misalnya Jimmy Wong Sze Phin, ahli parlimen Kota Kinabalu dan ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt dalam satu kenyataan bersama di parlimen menyatakan bagaimana ESSCOM ini sebagai satu kegagalan kepada negara dalam menjamin keselamatan nasional Malaysia. Menurut mereka;

‘…. with such a huge allocation how come ESSCOM failed, again? … an armed men easily enter Sabah borders, kidnap hostages and leave without being noticed? … How come Malaysian security units did not notice the offensive approach of these armed men? ... …. If the sovereignty of Sabah is easily challenged and offended despite the existence of ESSCOM then it means ESSCOM’s entire security has failed… We cannot accept these repeated kidnapping incidents and it clearly shows the credibility of ESSCOM is highly doubtful’.[25]

Dalam masa yang sama, Chan Foong Hin, Timbalan Pengerusi DAP Sabah & wakil rakyat Sri Tanjong mengkritik perbelanjaan besar oleh kerajaan melalui penubuhan ESSCOM sebagai satu kegagalan besar negara dalam menjaga dan menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,

‘A total of RM286 million has been allocated in previous budget as announced by PM, Datuk Seri Najib Razak, and 62 checkpoints are said to be upgraded but what finally demonstrated to the public and international society is, total failure of ESSCOM’.[26]

Seterusnya Lim Kit Siang, pengerusi DAP semasa membidas kelemahan ESSCOM lanjutan daripada penculikan warga asing di Pulau Singgahmata, Semporna menyatakan bahawa badan keselamatan yang menelan belanja beratus juta ringit ini perlu ditutup kerana gagal dalam mencapai matlamat penbuhannya.  Menurut beliau,

‘The Esscom might as well close down if after the Malaysian taxpayers spending RM300 million on it, all it could do is to admit that it is ‘powerless’ following the abduction of two women from a resort off Semporna on Wednesday.... Sabah and Malaysia do not need a RM300 million ‘white elephant’’.[27]

Hal yang sama turut dikongsi oleh ahli parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt yang menyatakan, 

‘… walaupun diberi peruntukan RM200 juta, disuntik tambahan RM75 juta dalam ajet 2014 dan RM11 juta untuk baik pulih 65 pos keselamatan, namun tidak ada sebarang perubahan berlaku. Jika berterusan begini, saya cadang ia ditutup saja’.[28]

Selain itu, empat ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) iaitu Lim Kit Siang, Jimmy Wong (DAP - Kota Kinabalu), Stephen Wong (DAP - Sandakan) dan Laksamana Pertama (Bersara) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR - Lumut) melihat penubuhan ESSCOM sebagai ‘gajah putih’ lanjutan daripada kegagalan mengawal masalah yang berlaku di kawasan tersebut.[29]Bukan setakat itu, terdapat juga ahli-ahli Parlimen BN yang menentang dan meminta agar ESSCOM ini dibubarkan kerana gagal dalam misinya mempertahankan keselamatan negeri Sabah.[30] Ghapur Salleh, ahli parlimen Kalabakan misalnya menyatakan ESSCOM juga perlu dibubarkan kerana ianya tidak mampu menangani masalah pencerobohan di perairan negeri itu. Menurut beliau, ‘ESSCOM ini tidak sukses. Jadi saya cadangkan kepada Perdana Menteri agar bubarkan ESSCOM’.[31]Hal yang sama turut diutarakan oleh Datuk Marsidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah yang melihat bahawa kerajaan perlu menilai semula peranan dan fungsi ESSCOM bagi memastikan badan ini dapat menangani insiden keselamatan dengan lebih berkesan.[32]Selain itu, Ketua Pemuda Pusat MCA, Chong Sin Woon, dalam kenyataan media beliaupada Mei 2014 turut mengecam ESSCOM dan mencadangkan agar institusi ini ‘ditutup’ kerana gagal dalam mengekang kes penculikan di kawasan ini.[33]Manakala pada Julai 2014, Lajim Ukin, seorang lagi wakil rakyat PKR Sabah turut menyatakan bahawa kejadian penculikan yang berulang memberikan gambaran bahawa ESSCOM gagal berfungsi dan mencapai matlamat penubuhannya.[34]

Bukan setakat itu, persepsi negatif ini juga turut dikongsi terutamanya dalam kalangan komuniti internet yang rata-ratanya mempersoalkan keberkesanan dan kemampuan ESSCOM dalam menangani masalah yang berlaku. Dalam ruangan komentar di beberapa laporan mengeni insiden penculikan yang berlaku di kawasan ESSZONE ini, menunjukkan dengan jelas akan kekecewaan para pembaca terhadap dasar-dasar dan strategi yang diambil oleh ESSCOM dalam menangani masalah penculikan di wilayah ESSZONE ini. Pelbagai pandangan boleh dilihat dalam hal ini antaranya yang melihat ESSCOM sebagai ‘satu kegagalan’, ‘perlu ditutup’, ‘pembaziran wang negara’, ‘inappropriate and incapable’ serta beberapa gambaran lain untuk menunjukkan kegagalan ESSCOM dalam menjamin keselamatan negara. Gambar di bawah merupakan sebahagian daripada komentar-komentar yang diberikan oleh para pembaca di ruangan maya, akhbar-akhbar atas talian dan laporan atas talian mengenai isu ini.


Gambar: Komentar Mengenai Penubuhan ESSCOM
Sumber: “ESSCOM failed, DG must go”, The Free Malaysia Today, 3 April  2014

Keadaan yang sama turut boleh dilihat didalam ruangan komuniti maya Facebook yang menjadikan saluran ini sebagai ruang untuk mengkritik kerajaan dan ESSCOM. Pelbagai luahan, pandangan dan kritikan diberikan kepada ESSCOM dan majoritinya adalah bersifat negatif. Salah seorang pengguna facebook misalnya melihat ESSCOM adalah satu pembaziran dan menghabiskan duit rakyat. Luahan hati ini dapat dilihat dalam Gambar 1.


Gambar: Luahan komuniti Internet yang melihat ESSCOM satu kegagalan
Sumber: ‘Facebook’, https://facebook.com

Oleh itu, jelas menunjukkan walaupun terdapat beberapa pihak ‘luar’ yang melihat kejayaan dan kemampuan ESSCOM dalam mengurusakan keselamatan di Pantai Timur Sabah, namun majoriti daripada kumpulan ini melihat penubuhan ESSCOM sebagai satu kegagalanbesar kepada negara. Ini kerana penubuhan ESSCOM dilihat gagal dalam mencapai matlamat untuk mengekang dan menghentikan aktiviti penculikan yang mengancam ketenteraman di kawasan ESSZONE. Ini menunjukkan bahawa dalam kalangan masyarakat luar ini, kegagalan ESSCOM dalam menangani masalah penculikan di negara ini merupakan satu kegagalan kepada badan tersebut dan ia turut merupakan kerugian bagi negara dalam menangani masalah yang berlaku di kawasan ini.

Persepsi Komuniti ESSZONE Terhadap Penubuhan dan Fungsi ESSCOM

Berdasarkan kepada dapatan di atas didapati bahawa majoriti komuniti ‘luar’ ini melihat ESSCOM sebagai gagal dalam menjamin keselamatan negeri Sabah, terutamanya di wilayah ESSZONE. Namun, dapatan kajian di lapangan menunjukkan dapatan yang berbeza. Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan di gugusan Felda Sahabat[35] yang meliputi kawasan-kawasan seperti Felda Sahabat, Lok Buani, Tambisan dan kawasan-kawasan sekitarnya mendapati bahawa terdapat persepsi yang berbeza mengenai penubuhan ESSCOM dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan ini.[36] Jika persepsi ‘orang luar’ seperti yang ditunjukkan di atas melihat ESSCOM sebagai satu kegagalan kepada kerajaan dalam menguruskan keselamatan di wilayah ESSZONE, dapatan kajian di Lahad Datu menunjukkan bahawa majoriti penduduk di kawasan ini yakin bahawa penubuhan ESSCOM akan memberikan banyak kebaikan daripada keburukan terutamanya dalam memberikan jaminan keselamatan kepada penduduk di kawasan ini daripada ancaman luaran.

Makalah ini melihat bahawa perkara yang paling asas dalam menilai mengenai persepsi dalam kalangan komuniti ESSZONE di Lahad Datu adalah melalui pengetahuan mereka mengenai ESSCOM itu sendiri. Aspek pengetahuan mengenai ESSCOM adalah penting terhadap komuniti ESSZONE kerana ESSCOM ditubuhkan untuk masyarakat di kawasan ini. Oleh itu sebarang aktiviti yang dijalankan untuk kepentingan mereka, komuniti di kawasan ini sepatutnya menjadi kumpulan pertama yang perlu mengetahui mengenai perkara tersebut. Oleh itu, penulis melihat bahawa, kegagalan mereka memahami dan mengetahui hal ini akan menjadikan sebarang aktiviti yang dirancangkan oleh kerajaan tersebut adalah sia-sia. Dengan kata lain, penubuhan ESSCOM hanya dilihat bermakna apabila penduduk di kawasan ini mengetahui mengenai fungsi dan peranan ESSCOM.

Secara amnya, persepsi komuniti di kawasan gugusan Felda Sahabat ini terhadap penubuhan dan fungsi ESSCOM dikumpul melalui borang soal selidik. Dalam hal ini, sebanyak 72 borang soal selidik telah diedarkan kepada penduduk-penduduk di kawasan ini. Di samping itu, beberapa siri temubual juga telah diadakan dengan penduduk bagi menyokong pandangan-pandangan yang diberikan mengenai persepsi mereka terhadap penubuhan dan fungsi ESSCOM. Responden yang dipilihberasal daripada tiga petempatan iaitu di petempatan FELDA Sahabat, Lok Buani dan Tambisan. Ketiga-tiga petempatan ini berada di Lahad Datu.Daripada 72 orang responden, sebanyak 75 peratus responden berasal dari petempatan FELDA Sahabat, 18.1 peratus dari Lok Buani dan 6.9 peratus dari Tambisan. Bagi aspek jantina, sebanyak 80.6 peratus responden yang ditemui adalah lelaki manakala sebanyak 19.4 peratus adalah wanita. Dari aspek kategori umur, sebanyak 31.9 peratus  responden berumur kurang dari 30 tahun, 22.2 peratus responden berumur 31 hingga 39 tahun, 26.4 peratus responden berumur 40 hingga 49 tahun dan 19.4 peratus responden berumur lebih dari 50 tahun.

Dari sudut etnik, sebanyak 44.4 peratus responden terdiri daripada etnik Bajau, Suluk (11.1 peratus), Bugis (5.6 peratus), Dusun/Kadazan (6.9 peratus) dan 68.1 peratus terdiri daripada etnik-etnik lain. Dari aspek pekerjaan, sebanyak 40.3 peratus responden bekerja dalam sector kerajaan, 41.7 peratusbekerja sendiri dan 18.1 peratus tidak bekerja. Berkerja dalam sector kerajaan merujuk kepada sector perkilangan dan perladangan di syarikat FELDA.Bekerja sendiri pula meliputi aktiviti-aktiviti ekonomi dalam dalam sektor perikanan, perniagan, mengusaha ladang dan pertanian. Manakala dari aspek pendapatan, 45.8 peratus responden berpendapatan kurang dari RM 1000, 48.6 peratus responden mempunyai pendapatan antara RM1000 hingga RM2000 dan hanya 5.6 peratus sahaja responden yang mempunyai berpendapatan antara RM2000 hingga RM3000.

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan di Lahad Datu ini, didapati bahawa sebanyak 72.22 peratus responden mengetahui mengenai penubuhan ESSCOM. Ini menunjukkan majoriti responden mengetahui mengenai pelaksanaan ESSCOM. Manakala sebanyak 27.78 peratus responden tidak pasti atau tidak pernah mendengar mengenai ESSCOM. Ini menunjukkan maklumat mengenai penubuhan ESSCOM masih belum sampai ke akar umbi. Selain itu, walaupun hakikatnya penduduk di kawasan in mengetahui mengenai kehadiran pihak tentera, polis dan pihak berkuasa lain selepas insiden Tanduo, namun mereka melihat bahawa kehadiran penguatkuasa tersebut adalah sementara dan tidak akan kekal di kawasan terbabit.

Dalam hal ini tidak dapat dinafikan bahawa pandangan penduduk di kawasan terbabit mengenai harapan mereka terhadap penubuhan ESSCOM adalah sangat tinggi. Beberapa penduduk yang ditanya misalnya menyatakan mereka sangat-sangat memerlukan jaminan keselamatan seperti yang diberikan oleh ESSCOM.En. Saharani, generasi pertama peneroka Felda sendiri menyatakan beliau menjadi orang pertama yang akan ‘membangkang’ sekiranya terdapat pihak yang menyatakan bahawa ESSCOM gagal dalam mencapai matlamat penubuhannya. Beliau menyatakan bahawa masyarakat luar ‘tidak faham akan trauma dan ketakutan penduduk di kawasan ini akibat daripada peristiwa Tanduo’ sambil menyifatkan kehadiran ESSCOM sebagai ‘satu rahmat dan memberikan semangat dan harapan baru’ kepada penduduk di kawasan ini.[37] Hal yang sama turut dikongsi oleh beberapa orang penduduk di kawasan ini yang melihat tentang perlunya kehadiran pihak keselamatan di kawasan ini bagi menjamin keselamatan penduduk.

En, Markus, seorang peneroka Felda Sahabat apabila mengambarkan penubuhan ESSCOM sebagai sejarah kepada penduduk Felda kerana sepanjang beliau berada di kawasan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Felda di mana kerajaan mengambil berat mengenai keselamatan penduduk di kawasan ini.[38] Malahan, En. Kamal, seorang pengusaha gerai makanan di kawasan ini menyatakan bahawa penduduk di kawasan ini kini bebas untuk bergerak tanpa wujudnya rasa bimbang yang keselamatan mereka akan diganggu.[39]Walau bagimanapun, dalam kalangan komuniti nelayan terutamanya yang tinggal di Tambisan pulau[40], majoritinya mempunyai persepsi yang agak berbeza dengan persepsi di kawasan-kawasan lain. Dalam hal ini mereka melihat bahawa penubuhan ESSCOM menganggu aktiviti ekonomi penduduk di kawasan ini terutamanya apabila penduduk tidak dibenarkan untuk keluar menangkap ikan pada waktu malam. Beberapa orang penduduk yang ditemui di kawasan ini melihat bahawa walaupun ESSCOM penting kepada keselamatan penduduk di kawasan ini, namun aktiviti ekonomi penduduk yang menjadi ‘periuk nasi’ masyarakat kampungperlu menjadi prioriti utama. Ini kerana, akibat dasar-dasar yang diijalankan oleh ESSCOM, misalnya perintah berkurung menyebabbakan berlakunya kesukaran penduduk untuk meningkatkan pendapatan mereka kerana mereka tidak dibenarkan untuk bergerak ke laut lepas pada waktu malam. Akibatnya, walaupunESSCOM dilihat sebagai penting dalam menjamin keselamatan, namun ia juga dilihat sebagai halangan kepada penduduk untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sebagai nelayan dan dalam masa yang sama menyukarkan kehidupan pnduduk di kawasan ini yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti kelautan.[41]

Di samping itu, walaupun majoriti daripada responden yang ditanya mengetahui mengenai penubuhan ESSCOM, namun daripada aspek kefahaman mereka mengenai organisasi ini adalah berbeza antara satu dengan yang lain. Dalam hal ini, sejumlah 45.9 peratus responden yang ditanya menyatakan bahawa ESSCOM merupakan ‘anggota keselamatan’ (bukannya institusi) yang menjamin keselamatan wilayah ESSZONE. Namun, anggota keselamatan yang mereka nyatakan adalah pelbagai seperti anggota polis yang baru, anggota keselamatan yang baru, pengawal pantai, pengawal keselamatan dan lain-lain. Selain itu, sebanyak 22.4 peratus responden menyatakan bahawa peranan ESSCOM sebagai satu badan yang hanya akan menjaga keselamatan perairan Sabah sahaja dan tidak akan menjaga keselamatan di kawasan daratan. Berdasarkan kepada respon dan jawapan ini, jelas menunjukkan bahawa pengetahuan penduduk mengenai ESSCOM ini tidak mendalam. Ini kerana tahap pendidikan penduduk di kawasan ini yang relatifnya rendah menyebabkan mereka tidak mengetahui atau tidak berminat untuk mengetahui mengenai keadaan terbabit.Ini ditambah lagi dengan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan ini yang majoritinya adalah tertumpu kepada aktiviti perladangan. Oleh itu, kehadiran ESSCOM dilihat tidak memberikan kesan kepada ekonomi penduduk di kawasan ini. Berbanding dengan kumpulan masyarakat yang tertumpu kepada aktivti perikanan, masyarakat yang terlibat dalam aktiviti ekonomi ini tidak ingin mengetahui secara mendalam mengenai ESSCOM kerana ia tidak menyangkut dengan aktiviti ekonomi mereka.

Selepas berlakunya insiden Tanduo, kehadiran pihak berkuasa adalah sangat tinggi di kawasan ii. Malahan adalah menjadi perkara biasa di kawasan ini apabila melihat kehadiran kereta perisai, kereta kebal dan kelengkapan tentera di kawasan penduduk.[42] Oleh kerana jumlah kehadiran tentera dan pihak berkuasa lain di kawasan ini adalah sangat tinggi, maka kajian turut menumpukan kepada persepsi masyarakat penduduk terhadap kehadiran pihak berkuasa di kawasan mereka.

Penilaian terhadap persepsi kehadiran anggota keselamatan di kawasan responden adalah penting untuk menilai sejauh mana penerimaan responden terhadap penubuhan dan fungsi ESSCOM dalam menjamin keselamatan penduduk. Dapatan kajian mendapati bahawa hanya terdapat 7 peratus responden sahaja yang tidak bersetuju dengan kehadiran pihak tentera di kawasan mereka. Dengan kata lain lebih kurang 93.06 peratus responden bersetuju bahawa kehadiran pihak berkuasa di kawasan mereka ini banyak menimbulkan rasa selamat dalam kalangan penduduk. Mereka melihat bahawa kehadiran anggota keselamatan ini tidak menyusahkan penduduk disebabkan kehadiran anggota keselamatan tidak mengganggu aktiviti ekonomi penduduk di kawasan ini. Hal ini kerana, pekerjaan utama responden terdiri daripada yang bekerja kerajaan (40.3 peratus),bekerja sendiri (41.7 peratus) dan tidak bekerja (18.1 peratus). Bekerja kerajaan merujuk kepada perkilangan dan perladangan manakala bekerja sendiri pula adalah seperti terlibat dalam perikanan, mengusahakan ladang sendiri dan berniaga.Kajian turut mendapati bahawa aktiviti perladangan dan perkilangan tertumpu di petempatan FELDA dan Lok Buani. Manakala ekonomi utama di Tambisan adalah lebih kepada aktiviti perikanan. Kebanyakan aktiviti tentera seperti rondaan, latihan dan penguatkuasaan dikawasan responden tidak menggangu aktiviti ekonomi responden. Hanya penduduk yang terlibat dengan aktiviti perikanan terjejas sedikit apabila perintah berkurung dilaksanakan.[43]Namun aktiviti perikanan masih boleh dijalankan dengan memohon permit daripada kerajaan.

Berdasarkan kepada responyang diberikan oleh penduduk di kawasan ini turut mendapati bahawa kehadiran anggota keselamatan di kawasan ini adalah sangat penting. Sebanyak 91.66 peratus responden sangat mengharapkan kehadiran polis/tentera di kawasan terbabit kerana ia banyak membawa kebaikan kepada penduduk di kawasan ini. Kehadiran pihak berkuasa ini sangat diperlukan kerana pengalaman insiden pencerobohan Tanduo 2013 menyebabakan penduduk di kawasan ini berasa trauma jika persitiwa ini berulang semula. Selain itu, dari segi sejarahnya, wilayah gugusan Felda Sahabat merupakan ‘kawasan hitam’ sejak daulu lagi kerana terkenal dengan aktiviti pelanunan yang seringkali menimbulkan ancaman keselamatan nyawa dan harta benda kepada penduduk di kawasan ini.[44]Sebagai contoh pada tahun 1992 apabila berlaku serangan di wilayah Dengan (salah satu kawasan yang berada di bawah gugusan Felda Sahabat) menyebabkan terdapat penduduk kampung yang kehilangan tangan akibat diserang oleh lanun atau Mundu ini.[45]Malahan, sejak tahun 1962 sehingga tahun 2014, kawasan perairan di wilayah Lahad Datu tidak pernah lekang dari ancaman keselamatan seperti rompakan, penyeludupan, masalah dadah, masalah warga asing, penculikan dan serangan lanun. Insiden pencerobohan di Tanduo pada tahun 2013 telah meninggalkan kesan trauma kepada penduduk di Tambisan, Lok Buani dan FELDA Sahabat. Perkara ini dipersetujui oleh Markus Sungkiam, salah seorang penduduk di kawasan ini yang ditemubual yang menyatakan kawasan gugusan Felda Sahabat ini dahulu merupakan kawasan yang terkenal dengan aktiviti lanun atau mundu, terutamanya dari selatan Filipina. Malahan semasa berlakunya insiden pencerobohan Tanduo pada 2013, ramai penduduk yang menyangkakan bahawa ianya merupakan satu lagi serangan lanun di kawasan tersebut.[46]

Oleh itu, tidak menghairankan persepsi penduduk di kawasan ini yang melihat bahawa kehadiran pihak tentera di kawasan ini penting adalah kerana ia mampu mengurangkan kebimbangan insiden seperti pencerobohan Tanduo daripada berulang semula dan juga dalam masa yang sama ia mampu mengekang masalah-masalah lain seperti perlanunan, rompakan laut, membentras jenayah dan juga mengelakkan daripada berlakunya jenayah yang dilakukan oleh warga asing di kawasan ini. Hal ini kerana sebelum penubuhan ESSCOM, hanya terdapat sejumlah pos-pos kecil tentera dan polis yang terdapat di kawasan ini dan ia tidak efektif dalam menjamin keselamatan penduduk di kawasan ini. Lebih membimbangkan apabila anggota keselamatan atau polis bantuan Felda hanya dibekalkan shotgun yang tidak mempunyai peluru selain anggota Rela yang hanya terdiri daripada golongan warga tua yang hanya dibekalkan dengan cota sahaja.[47]Kesemua keadaan ini merupakan alasan utama kenapa penduduk di kawasan ini sangat memerlukan kepada kehadiran tentera dan pihak berkuasa lain di kawasan mereka.

Berdasarkan kepada kajian yang dijalankan ini juga mendapati bahawa walaupun kehadiran pihak berkuasa yang tinggi di kawasan ini melalui kehadiran ESSCOM, namun mereka melihat bahawa penubuhan ESSCOM ini tidak akan mampu mengatasai beberapa masalah penduduk di kawasan terbabit. Dalam hal ini, sebanyak 83.33 peratus responden menyatakan bahawa masalah pendatang asing sukar diselesaikan di kawasan mereka walaupun ESSCOM telah diwujudkan. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan responden melihat ESSCOM di kawasan mereka masih sukar mengatasi masalah pendatang asing. Salah seorang responden menyatakan bahawa masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah pendatang ini kerana masalah ini telah lama wujud iaitu semasa pembukaan petempatan Felda Sahabat lagi. Pada tahun 1986 apabila kawasan ini mula diterokai, petempatan Felda Sahabat memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 orang pekerja bagi memenuhi permintaan untuk melaksanakan proses pembangunan di kawasan ini.Pada masa itu, pihak Felda berjaya memperoleh pekerja asing yang berasal dari Indonesia dan selatan Filipina yang kebanyakannyatidak mempunyai permit kerja yang sah untuk memenuhi keperluan buruh di kawasan ini.[48]Oleh itu, kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah sangat tinggi di kawasan ini. Malahan sehingga ke hari ini pekerja asing merupakan sumber tenaga buruh utama kepada ladang-ladang Felda yang terdapat di kawasan ini.Oleh itu, jatuh-bangun Felda banyak ditentukan oleh jumlah tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kepada sektor perladangan ini.

Pada tahun 2008 sahaja, ladang Felda Plantation Sdn Bhd memerlukan sekurang-kurangnya 10,524 orang tenaga buruh untuk ladang yang berkeluasan 106,919 hektar. Pada ketika itu Felda hanya mempunyai seramai 7,688 orang tenaga buruh di mana 6975 orang adalah pekerja asing dan 713 orang adalah pekerja tempatan.[49]Malahan kebergantungan ini juga tidak hanya kepada syarikat Felda mengusahakan beribu-ribu hektar tanah, tetapi ia turut berlaku kepada peneroka Felda di kawasan ini. Hal ini dengan jelas menunjukkan penggunaan yang besar buruh asing yang sangat mendesak di kawasan ladang-ladang yang terdapat di kawasan ini. Keadaan ini tidak mengambilkira keperluan pekebun-pekebun kecil di kawasan ini serta sektor perikanan yang turut sama bergantung kepada tenaga kerja asing di kawasan ini. Dengan kata lain, selagi kebergantungan tenaga kerja asing di sektor-sektor utama yang menjadi nadi utama ekonomi ini berterusan di kawasan ini secara khususnya, dan Sabah secara amnya, selagi itulah masalah pendatang kerja asing tidak akan dapat diselesaikan. Hal yang sama turut di alami dalam kalangan komuniti yang berada di kawasan ini di mana persepsi bahawa ESSCOM tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah di kawasan ini adalah disandarkan oleh faktor-faktor kebergantungan penduduk-penduduk kampung ini ke atas tenaga kerja asing luar. Dengan kata lain, tanpa tenaga kerja ini, maka ekonomi syarikat besar dan penduduk-penduduk di kawasan ini akan mengalami masalah yang besar.

Selain itu, satu lagi isu yang perlu diambil perhatian apabila memperkatakan mengenai keselamatan di kawasan ESSZONE ini adalah berkait dengan penyeludupan. Ini kerana kedudukan kawasan ini yang berada di pesisir pantai mengadap kearah Filipina sering memudahkan aktiviti penyeludupan di kawasan ini. Oleh itu, salah satu isu yang utama di kawasan ini adalah berkait dengan isu penyeludupan barang-barang sama ada dari Filipina (seperti dadah, rokok dan sebagainya) atau Malaysia (seperti gula, minyak dan barang-barang subsidi lain. Dengan penubuhan ESSCOM, ramai pihak menjangkakan isu penyeludupan merupakan satu isu yang akan dapat diselesaikan di kawasan ini. Ini kerana, penubuhan ESSCOM akan dapat menyekat kesemua aktiviti-aktiviti tersebut.

Dalam hal ini, seramai 73.61 peratus responden menyatakan bahawa penyeludupan barang di kawasan mereka sukar diselesaikan.Persepsi penduduk ini didorong oleh kedudukan Felda Sahabat dan kawasan sekitarnya yang berhampiran dengan Filipina. Sebagai contoh, kampung Tanjung Labian, Tambisan, Felda Sahabat dan Lok Buani antara kawasan yang berhampiran dengan Filipina. Malahan dalam keadaan cuaca yang cerah, Filipina dapat dilihat daripada beberapa kawasan pesisir pantai di  kawasan ini.[50]Jarak petempatan yang berdekatan dengan Filipina antara punca utama isu penyeludupan mudah dijalankan. Selain itu, salah seorang responden menyatakan bahawa wujudnya pelbagai lorong-lorong tikus di kawasan ini yang menyebabkan aktiviti penyeludupan sukar di atasi. Selain itu, wujudnya permintaan yang tinggi terhadap barangan Malaysia di Filipina atau barangan Filipina di Malaysia meningkatkan lagi kecenderungan untuk menjalankan aktiviti ini. Di kawasan ini misalnya terdapat penduduk tempatan yang menjual barang bagi mengaut keuntungan, barang-barang seperti beras, minyak masak, petrol, tepung dan gula antara barangan yang mendapat permintaan tinggi dari Filipina.[51]Oleh itu, tidak menghairankan apabila wujudnya persepsi yang melihat bahawa isu ini tidak akan dapat diselesaikan walaupun ESSCOM telah diwujudkan.

Oleh itu, secara keseluruhannya dapatlah dinyatakan bahawa penduduk di gugusan Felda melihat bahawa kehadiran ESSCOM di kawasan mereka akan memberikan kesan yang besar kepada keselamatan penduduk di kawasan ini. Dengan kata lain, mereka melihat bahawa ESSCOM berjaya berfungsi dengan baik dalam menjamin keselamatan penduduk. Hal ini tidak menghairankan kerana selepas berlakunya insiden Tanduo pada 2013, penduduk di kawasan ini tidak pernah mengalami masalah penculikan, rompakan di laut dan sebagai. Ini menjadi testimoni yang paling penting dalam melihat kejayaan ESSCOM dalam menjamin keselamatan di kawasan ini. Penduduk dalam masa yang sama tidak lagi berasa bimbang akan keselamatan mereka sama ada daripada ancaman dalaman atau luaran kerana kehadiran tentera yang tinggi di kawasan ini. Malahan terdapat beberpa individu yang ditemubual menyatakan bahawa ESSCOM bukan sahaja akan memberikan jaminan keselamatan kepada penduduk, tetapi kehadiran anggota tentera yang ramai di kawasan ini akan mengubah lanskap ekonomi dan menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan kerana peningkatan jumlah anggota tentera dan penduduk di kawasan terbabit.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelas menunjukkan wujudnya perbezaan persepsi antara komuniti ESSZONE di Lahad Datu dengan persepsi masyarakat luar mengenai peranan dan fungsi ESSCOM dalam menjamin keselamatan negeri Sabah.Komuniti ESSZONE di Lahad Datu menerima kehadiran anggota ESSCOM kerana mereka melihat ESSCOM sebagai satu mekanisma dalam menjamin keselamatan penduduk di sempadan yang dahagakan elemen-elemen keselamatan yang selama ini kurang diberikan penekanan.Hal ini kerana, dalam kalangan komuniti ESSZONE di gugusan Felda Sahabat melihat bahawa penubuhan ESSCOM merupakan satu jaminan keselamatan di kawasan mereka. Hal ini berbeza dengan persepsi masyarakat luar yang dilihat hanya tahu mengkritik dan tidak pernah menyelami perasaan penduduk yang terkesan akibat ancaman keselamatan di kawasan terbabit. Penulis dalam hal ini melihat bahawa persepsi komuniti ESSZONE ini seharusnya menjadi keutamaan ESSCOM dalam menentukan dasar dan hala tuju institusi keselamatan tersebut. Dengan kata lain, ESSCOM walaupun dikritik oleh ramai pihak luar, namun hakikatnya institusi ini telah berjaya mencapai matlamat dan fungsi penubuhannya iaitu menjamin keselamatan penduduk di kawasan pantai Timur Sabah. Ini dapat dilihat daripada peratusan yang tinggi apabila isu-isu berkait dengan keberkesanan dan kejayaan ESSCOM dalam memulihkan semangat penduduk di kawasan ini yang amat terkesan akibat daripada insiden pencerobohan Tanduo. Namun, beberapa perkara lain turut perlu diperbaiki terutamanya dalam ‘merakyatkan ESSCOM’ dan menjadikan organisasi ini sebagai satu badan yang berkhidmat untuk masyarakat seterusnya mewujudkan hubungan yang rapat dengan penduduk bagi memastikan kelangsungannya dan kejayannya sebagai satu organisasi yang boleh diterima penduduk di di gugusan Felda Sahabat secara amnya dan wilayah ESSZONE secara amnya, seterusnya menjamin keselamatan negeri Sabah secara keseluruhannya.


RUJUKAN

“Backpackers Operators Association also slams Nazri”, Borneo Post, 21 Nov. 2014
“ESSCOM failed, DG must go”, The Free Malaysia Today, 3 April 2014
“Esscom really a toothless tiger?”, The Malaysian Insider, 6 April 2014
“ESSCOM, ESSZONE not a vote-fishing scheme”, The Borneo Insider, 3 Apr. 2013
“ESSZONE kurang baik untuk jangka panjang”, Harian Express, 13 April 2013
“Kit Siang, Pakatan trio to probe into effectiveness of Sabah maritime force”, The Malaysian Insider, 15 Apr. 2014
“Media statement by Chan Foong Hin in Semporna on Thursday”, DAP Malaysia, http://dapmalaysia.org/, 3rd April 2014
“Najib on 4 aspects Esscom cannot compromise on”, Daily Express, 14 Apr. 2013

“Patriotisme mampu pertingkat keselamatan Sabah”, Berita Harian, 10 Mei 2014

“Pencerobohan makin serius di perairan Sabah, ESSCOM terbukti gagal”, Rocketkini.com, 8 April 2014
“Penculikan di pantai timur Sabah: Muhyiddin kecewa dah labur RM300 juta pada ESSCOM, keselamatan Sabah masih terancam,” Harian Metro, 29 September 2014.
“Penubuhan ESSCOM langkah bijak”, Utusan, 24 Sept. 2014
“People questioning ESSCom’s effectiveness - Lajim”, Borneo Post, 17 July 2014
“Polis Isytihar Perintah Berkurung di Enam Daerah ESSZONE”, ESSCOM Times, esscom.gov.my/ diakses pada 19.10.2014.
“Sabah foreign intrusion proves failure of Putrajaya’s security zone, opposition says”, The Malay Mail, 16 Nov. 2013
“Sabah security zone failed, so seek UN’s help, Putrajaya told”, The Malaysian Insider, 19 Nov. 2013
“Satu Lagi Kes Penculikan Berlaku di Kawasan Pantai Timur Sabah”, Astro Awani, 29 Sept. 2014.
 “Security area to be called ‘Esscom’”, Borneo Post, 12 March 2013
 “Taiwan Media: Chang An-wei’s Family Paid RM800,000 Ransom”, The Rakyat Post, 21 Dec 2014, http://www.therakyatpost.com
 “TPM kecewa ESSCOM belum mampu kekang penculikan”, Borneo Post, 08 Mei 2014
“Zahid: Foreign vessels to follow designated routes off east coast of Sabah”, The Star, 07 May 2014
Chong Sin Woon, “Press Statement by MCA National Youth Chief YB Chong Sin Woon slam abductions in Sabah”, http://www.mca.org.my/, 7 May 2014
En. Kamal. Temubual, 8-14 September 2014.
En. Markus, Temubual, 8-14 September 2014.
En. Saharani, Temubual, 8-14 September 2014.
ESSCOM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Buletin Esscom, April-Oktober 2013, (Kota Kinabalu: Jabatan Cetak Kerajaan, 2013).
Faizul Ramli, Implementasi Mekanisasi di Ladang Sawit di Sabah: Amalan dan Masalah, (Disertasi, Universiti Malaysia Sabah, 2010), hlm.7.
Hasbullah Awang Chik, “Ahli Parlimen BN Sabah desak Esscom dibubarkan”, The Malaysian Insider, 07 April 2014
Hj Ahmad, Temubual, 8-14 September 2014.
James Collins, Ramli Dollah & Zaini Othman, “Pengaruh Persekitaran Fizikal Geografi Terhadap Keterancaman Persempadanan Pantai Timur Sabah”, manuskrip yang tidak diterbitkan, 2014
Kajian lapangan  pada 8 - 14 September 2014, FELDA Sahabat.
Kamus Dewan Edisi Ketiga, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm.1025.
Liana Amin, Persepsi Masyarakat Terhadap Dominasi Gender dalam Bidang Perhubungan Awam, (Latihan Ilmiah, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, 2008), hlm. 11.
Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Ucapan Bajet Tahun 2015, (Dewan Rakyat, 10 Oktober 2014)
Mohd Zambri bin Suharani, Sejarah Komuniti Peneroka di FELDA Sahabat (1979-2010), (Tesis Sarjana, Universiti Malaysia Sabah: Kota Kinabalu, 2010) hlm.67
Muguntan Vanar, “Esszone curfew extended till Jan 9”, The Star, 24 Dec. 2014
Nazri Abdullah “Ghafur desak Junaidi letak jawatan, bubar Esscom”, Harakahdaily, 07 April 2014
Ramli Dollah, Lanun atau Mundu Di Sabah, Jati, (bil.9, Disember 2004),
Rashidah Binti Kalipunya, Persepsi Penduduk Bandar raya Kota Kinabalu Terhadap Kempen Kitar Semula, (Latihan Ilmiah, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, 2007)
Shamsul Bahrin dan Lee Boon Thong, FELDA 3 Decades of Evolution, (Universiti Malaya: Kuala Lumpur, 1988),


[1]Makalah ini berdasarkan penelitian pasukan penyelidik Fakulti Kemanusiaan, Universiti MalaysiaSabah melalui geran ERGS (ERGS0018-PK-1/2012) yang dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah bertajuk ‘Masyarakat Sempadan dan Keselamatan Nasional’. Penulis mengucapkan ribuan terima kasih keapda semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kajian ini.
[2] Liana Amin, Persepsi Masyarakat Terhadap Dominasi Gender dalam Bidang Perhubungan Awam, (Latihan Ilmiah, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah,2008), hlm. 11.
[3]Kamus Dewan Edisi Ketiga, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), hlm.1025.
[4] Rashidah Binti Kalipunya, Persepsi Penduduk Bandar raya Kota Kinabalu Terhadap Kempen Kitar Semula, (Latihan Ilmiah, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah,2007),hlm.9.
[5] “Security area to be called ‘Esscom’”, Borneo Post, 12 March 2013
[6] “ESSZONE dan ESSCOM”, ESSCOM Times,
[7] “ESSZONE dan ESSCOM”, ESSCOM Times,
[8] Untuk keterangan lanjuta mengenai latarbelakang dan keluasan wilayah ESSZONE ini, lihat James Collins, Ramli Dollah & Zaini Othman, “Pengaruh Persekitaran Fizikal Geografi Terhadap Keterancaman Persempadanan Pantai Timur Sabah”, manuskrip yang tidak diterbitkan, 2014
[9] “ESSCOM, ESSZONE not a vote-fishing scheme”, The Borneo Insider, 3 Apr. 2013
[10] “Najib on 4 aspects Esscom cannot compromise on”, Daily Express, 14 Apr. 2013
[11] Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Ucapan Bajet Tahun 2015, (Dewan Rakyat, 10 Oktober 2014), hlm.51
[12] Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Ucapan Bajet Tahun 2015, hlm. 34.
[13]“Satu Lagi Kes Penculikan Berlaku di Kawasan Pantai Timur Sabah”, Astro Awani, 29 Sept. 2014. Lihat juga “Penculikan di pantai timur Sabah: Muhyiddin kecewa dah labur RM300 juta pada ESSCOM, keselamatan Sabah masih terancam,” Harian Metro, 29 September 2014.
[14]“Taiwan Media: Chang An-wei’s Family Paid RM800,000 Ransom”, The Rakyat Post, 21 Dec 2014, http://www.therakyatpost.com
[15]“Zahid: Foreign vessels to follow designated routes off east coast of Sabah”, The Star, 07 May 2014
[16] Gao dan Dayawan dibebaskan pada 30 mei Makala Yang dibebaskan pada 9 Julai July 9, kedua-duanya di Jolo. Chan dibebaskan pada 10 Disember.
[17] Sehingga artikel ini ditulis, perintah berkurung dari pukul 7 petang hingga ke 6 pagi yang diumumkan untuk setiap 2 minggu ini telah memasuki fasa yang ke-10dan akan dilanjutkan sehingga 9 Januari 2015. Muguntan Vanar, “Esszone curfew extended till Jan 9”, The Star, 24 Dec. 2014
[18] ESSCOM, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Buletin Esscom, April-Oktober 2013, (Kota Kinabalu: Jabatan Cetak Kerajaan, 2013).
[19] “Penubuhan ESSCOM langkah bijak”, Utusan, 24 Sept. 2014
[20] “ESSZONE kurang baik untuk jangka panjang”, Harian Express, 13 April 2013
[21]“Backpackers Operators Association also slams Nazri”, Borneo Post, 21 Nov. 2014
[22] “Sabah foreign intrusion proves failure of Putrajaya’s security zone, opposition says”, The Malay Mail, 16 Nov. 2013
[23] “Sabah foreign intrusion proves failure of Putrajaya’s security zone, opposition says”,
[24] “Sabah security zone failed, so seek UN’s help, Putrajaya told”, The Malaysian Insider, 19 Nov. 2013
[25] “ESSCOM failed, DG must go”, The Free Malaysia Today, 3 April  2014
[26] “Media statement by Chan Foong Hin in Semporna on Thursday”, DAP Malaysia, http://dapmalaysia.org/, 3rd April 2014
[27] “Esscom really a toothless tiger?”, The Malaysian Insider, 6 April 2014
[28]“Pencerobohan makin serius di perairan Sabah, ESSCOM terbukti gagal”, Rocketkini.com, 8 April 2014
[29] “Kit Siang, Pakatan trio to probe into effectiveness of Sabah maritime force”, The Malaysian Insider, 15 Apr. 2014
[30] Lihat misalnya kekecewaan yang ditunjukkan oleh TPM, Muhyiddin Yassin apabila mengula mengenai insiden penculikan yang berterusan di kawsan ini. “TPM kecewa ESSCOM belum mampu kekang penculikan”, Borneo Post, 08 Mei 2014
[31]Hasbullah Awang Chik, “Ahli Parlimen BN Sabah desak Esscom dibubarkan”, The Malaysian Insider, 07 April 2014 dan Nazri Abdullah “Ghafur desak Junaidi letak jawatan, bubar Esscom”, Harakahdaily, 07 April 2014

[32]“Patriotisme mampu pertingkat keselamatan Sabah”, Berita Harian, 10 Mei 2014

[33]Chong Sin Woon, “Press Statement by MCA National Youth Chief YB Chong Sin Woon slam abductions in Sabah”, http://www.mca.org.my/, 7 May 2014
[34] “People questioning ESSCom’s effectiveness - Lajim”, Borneo Post, 17 July 2014
[35] Makalah ini merujuk Gugusan Felda Sahabat sebagai kawasan yang berada dalam kawasan Felda Sahabat dan kawasan-kawasan sekitarnya. Oleh itu, walaupun beberapa kampung di kawasan ini tidak termasuk dalam sector perladangan yang dimiliki oleh Felda Sahabat, misalnya Tungku, Tambisan, Lok Buani, Tanduo dan beberapa kawasan lain, namun makalah ini akan menggunakan Gugusan Felda Sahabat untuk merujuk kawasan-kawasan ini.
[36] Gugusan Felda Sahabat ini merupakan kawasan di mana insiden pencerobohan Tanduo ini berlaku. Walaupun pengkaji turut melawat ke kawasan di mana berlakunya insiden Tanduo ini, namun lanjutan daripada peristiwa tersebut, penduduk-penduduk di kawasan ini telah dipindahkan oleh kerajaan (atau berpindah secara sukarela) ke kawasan-kawasan lain di sekitarnya. Malahan terdapat penempatan semula yang baru diwujudkan oleh kerajaan untuk menempatkan semula penduduk di kawasan yang lebih tersusun.
[37] Temubual bersama En. Saharani, 8-14 September 2014.
[38] Temubual bersama En. Markus, 8-14 September 2014.
[39] Temubual bersama En. Kamal.8-14 September 2014.
[40] Tambisan merupakan bahagian yang paling jauh sekali di gugusan Felda Sahabat ini. Ia merupakan sebuah kawasan yang terpencil dan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Tambisan Darat dan Tambisan Pulau.
[41]HjAhmad, Temubual, 8-14 September 2014.
[42] Dalam hal ini perlu diingat bahawa kehadiran tentera dan pihak berkuasa lain di sesebuah kawasan tidak bermakna kawasan tersebut akan selamat kerana persepsi penduduk terhadap kehadiran penguatkuasa ini mungkin berbeza antara satu dengan yang lain – ramai yang melihat kehadiran penguatkuasa sebagai wujudnya keadaan ‘selamat’ di sesbuah kawasan, tetapi terdapat juga penduduk yang melihat bahawa kehadiran penguatkuasa bermaksud kawasan tersebut ‘tidak selamat’. Berdasarkan kehadiran pihak berkuasa dengan jumlah yang ramai di Kota Kinabalu semasa berlakunya insiden Tanduo pada 2013 misalnya menambahkan dan meningkatkan kebimbangan penduduk mengenai keselamatan mereka. Dalam hal ini penduduk mula merasakan bahawa wujud masalah keselamatan di kawasan terbabit. Malahan terdapat sesetangah penduduk yang ditemubual bertindak bertindak menyimpan stok beras dan minyak kerana bimbang keadaan ini akan membawa kepada masalah yang lebih besar.
[43]Perintah berkurung ini dikuatkuasakan di enam daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Kawasan yang terlibat adalah seluas 121,272 batu persegi bermula dari Tanjung Pundaras di Sandakan sehingga Jeti Tawau di Tawau. Rujuk “Polis Isytihar Perintah Berkurung di Enam Daerah ESSZONE”, ESSCOM Times, esscom.gov.my/ diakses pada 19.10.2014.
[44] Mohd Zambri bin Suharani, Sejarah Komuniti Peneroka di FELDA Sahabat (1979-2010), (Tesis Sarjana, Universiti Malaysia Sabah: Kota Kinabalu, 2010) hlm.67
[45] Mohd Zambri bin Suharani, Sejarah Komuniti Peneroka di FELDA Sahabat (1979-2010), hlm.68
[46] Temu bual dengan Markus Sungkiam, 8-14 September 2014.
[47] Temu bual dengan Markus Sungkiam.8-14 September 2014.
[48]Shamsul Bahrin dan Lee Boon Thong, FELDA 3 Decades of Evolution, (Universiti Malaya:Kuala Lumpur,1988), hlm.68
[49] Faizul Ramli, Implementasi Mekanisasi di Ladang Sawit di Sabah: Amalan dan Masalah,(Disertasi, Universiti Malaysia Sabah,2010), hlm.7.
[50] Ramli Dollah, Lanun atau Mundu Di Sabah, Jati, (bil.9, Disember 2004),hlm. 226. Rujuk juga Mohd Zambri bin Suharani, Sejarah Komuniti Peneroka di FELDA Sahabat (1979-2010), hlm.198.
[51] Kajian lapangan  pada 8 - 14 September 2014, FELDA Sahabat.