Wednesday, March 23, 2011

Sejarah awal Lahad Datu


2.0 Pendahuluan
Lahad Datu menjadi petempatan awal direkodkan pada tahun 1789 iaitu apabila Datu Baginda Putih berhijrah ke Lahad Datu. Pentadbiran pertama telah direkodkan di Lahad Datu pada tahun 1881 oleh North Borneo Chartered Company (NBCC) di Silam. Bermula daripada saat itu, Lahad Datu mula menonjolkan peranannya sebagai sebuah pusat pentadbiran dan sumber ekonomi bagi NBCC. Perubahan mula berlaku dari beberapa aspek di Lahad Datu seperti ekonomi,pentadbiran dan politik. Justeru, dalam bab ini, perbincangan akan memberi tumpuan kepada sejarah awal Lahad Datu iaitu dengan fokus perbincangan berdasarkan sub tajuk seperti kedudukan geografi, perkembangan ekonomi,sejarah awal pentadbiran dan lain-lain.

2.1 Sejarah Awal Lahad Datu
Sebelum membincangkan dengan lebih mendalam mengenai Lahad Datu, sejarah mengenai Sabah secara umum akan dikaji dahulu. Setiap sejarawan mempunyai beberapa  pendapat mereka yang berbeza mengenai asal usul nama bagi negeri Sabah yang juga dikenali sebagai negeri di bawah angin ini. [1] Namun kebanyakan mereka bersetuju dengan pendapat yang dibuat oleh Alien R. Maxwell melalui artikel beliau iaitu “The Origin of the Name Sabah”(Sabah Society Journal 1981-1982) mempercayai bahawa nama Sabah berasal daripada bahasa Melayu Brunei iaitu Saba yang bermaksud arah aliran sungai.[2] Penggunaan perkataan Sabak (Saba) juga pernah dilihat dalam dokumen pemberian hak kebenaran memiliki bahagian utara Borneo oleh Sultan Abdul Mubin dan pemberian gelaran “Maharaja Sabak” seperti yang dilaporkan dalam Straits Times Of Singapore(1879).[3]Pada tahun 1658, berlaku satu pemberontakan di antara Sultan Abdul Mubin dengan Pengeran Mohidin. Pemberontakan tersebut dilakukan oleh Sultan Mubin di Pulau Chermin. Sultan Brunei telah mengeluarkan titah
Maka Baginda pun mengeluarkan titahnya, Hai Betara,kalau sekiranya Betara dapat mengalahkan Sultan Mubin di Pulau Chermin itu,maka aku berikan negeri sebelah Saba iaitu negeri Kimanis.. [4]

          Sultan Sulu telah datang membantu Sultan Brunei dan berjaya menumpaskan pemberontakan yang dilakukan oleh Sultan Mubin. Setelah tewas kepada Sultan Sulu, Sultan Mubin telah melarikan diri ke Kinarut.[5] Kejayaan Sultan Sulu menewaskan pemberontakan tersebut menyebabkan Sultan Brunei telah menghadiahkan kawasan timur laut Borneo kepada baginda pada tahun 1622.[6] Hal ini menyebabkan ramai bangsawan dari Sulu datang ke kawasan di kawasan timur Sabah.[7]
          Lahad Datu merupakan salah satu daerah yang terdapat di pantai timur Sabah,sejak awal penguasaan kerajaan tempatan sehingga kepada kemasukan kuasa barat ke Sabah, kawasan daerah ini telah dikuasai oleh beberapa pihak. Pada awalnya, kawasan daerah ini dan sekitarnya berada di bawah penguasaan Kesultanan Brunei kemudiannya diserahkan kepada Sultan Sulu. Pada tahun 1878, Sultan Sulu telah memajakkan kawasan yang dimilikinya itu kepada NBCC.  Kesan Perang Dunia Ke-2 yang sangat teruk di atas Sabah, NBCC telah menyerahkan kawasan yang dimilikinya kepada kerajaan British.
          Kajian arkeologi menunjukkan bahawa beberapa bahagian di  Lahad Datu telah didiami oleh sejak puluhan ribu tahun yang lalu. Antara kawasan-kawasan yang pernah didiami oleh manusia awal ialah di Tingkayu, dan Gua Madai. Kawasan Tingkayu dipercayai telah didiami oleh manusia Paleolitik lebih daripada 20,000 tahun dahulu kerana terdapat bukti longgokan hasil batuan yang digunakan untuk kegiatan membuat alat daripada batu seperti senjata,peralatan keperluan seharian dan lain-lain.[8] Kawasan di Lahad Datu ini dianggap sebagai tapak Paleolitik yang tertua di Sabah. Ini menunjukkan sebelum bermulanya pemerintahan sebuah kerajaan di Sabah, kawasan di sekitar Lahad Datu telah didiami oleh manusia terawal. Namun masyarakat ini bukanlah yang membentuk penduduk Lahad Datu pada hari ini kerana kebanyakan penduduk di Lahad Datu terdiri daripada masyarakat yang berhijrah.[9]
          Manakala kawasan Gua Madai pula telah didiami oleh masyarakat Idahan sejak 10 000 tahun yang lalu.[10] Kajian Muzium Sabah pada 1970-an mendapati aktiviti manusia telah bermula di dalam gua tersebut lebih dari 18  000 tahun yang lalu. Keadaan ini dibuktikan dengan penemuan beberapa peralatan pisau yang halus buatannya oleh ahli Arkeologi dari Australia (Dr Peter Bellwood) dan Zoologist Britain pada tahun 1980-1982.[11] Gua Madai ini menjadi tempat tinggal manusia untuk sekian lama, ini dibuktikan dengan rekod tinggalan binatang seperti badak,Khinzir,buaya,ular dan rusa yang membuktikan sebagai diet manusia yang pernah tinggal di kawasan tersebut. Dalam jangka masa 3000 tahun, gua madai ini didiami oleh manusia namun disebabkan peningkatan aras laut menyebabkan kawasan ini ditinggalkan untuk beberapa ribu tahun. Penemuan besi dan tembikar dari India menunjukkan bahawa 1000 tahun kemudian, manusia mula mendiami gua ini semula.[12]
          Menyentuh mengenai asal usul Lahad Datu, terdapat beberapa peristiwa menceritakan bagaimana daerah ini mendapat namanya. Nama Lahad Datu mula terkenal dengan penghijrahan seorang bangsawan pada tahun 1879 dari Filipina iaitu Datu Baginda Putih ke sebuah perkampungan kecil di persisiran pantai Lahad Datu. Datu Baginda Putih merupakan seorang bangsawan yang sangat berpengaruh dalam zaman Kesultanan Sulu. Penghijrahan Datu Baginda ini bukanlah disebabkan perintah Sultan Sulu untuk mentadbir Lahad Datu, tetapi lebih kepada mencari tempat tinggal yang baru di tanah seberang. Hal ini kerana pada tahun 1870-an, Sultan Jamal Al Alam, sultan Sulu ketika itu menghadapi peperangan dengan kerajaan Sepanyol di Filipina.[13] Keadaan kucar-kacir di Filipina menyebabkan ramai pembesar mereka telah berhijrah ke tempat lain untuk mencari tempat yang lebih aman. Penghijrahan beliau telah membawa perubahan besar kepada perkampungan itu sehingga menjadikan kawasan tersebut selamat daripada ancaman lanun.[14] Pertapakan Datu Baginda Putih ini juga telah tersebar luas dan menarik lebih ramai bangsawan-bangsawan Filipina yang bergelar datu untuk menetap di kawasan tersebut.[15] Oleh itu kawasan tempat Datu Baginda bertapak dinamakan sebagai “Lahad Datu”. “Lahad” dalam dialek kaum Bajau membawa maksud tempat manakala “Datu ” merujuk kepada golongan yang bergelar Datu-datu dari Filipina. Oleh itu Lahad Datu bermaksud tempat Datu-datu.
          Selain itu,terdapat nama lain yang merujuk kepada  Lahad Datu menurut penduduk tempatan. Nama Lahad Datu juga dikenali sebagai Kerugau yang berasal daripada bahasa Idahan. Kerugau membawa maksud kawasan tompok-tompok batu karang kerana kawasan batu karang ini banyak didapati di persekitaran pantai Lahad Datu bermula dengan kawasan Kunak sehingga kepada kawasan Tungku.[16]

2.2 Kedudukan Geografi
Merujuk kepada Peta 2.1, Lahad Datu sebuah daerah yang terletak di kawasan pantai timur Sabah dalam bahagian Tawau. Daerah ini menghadap Laut Sulu dan Teluk Darvel. Lahad Datu terletak pada kedudukan latitud 5º 1’ Utara dan longitud 118º 19’ timur. Jarak Lahad Datu lebih kurang 500 km daripada Bandar  Utama Sabah iaitu Kota Kinabalu dan berhampiran dengan beberapa bandar lain seperti Sandakan(154 km),Tawau(149 km),Semporna(160km), Kinabatangan(65 km) dan Kunak(75 km). Berdasarkan Peta 2.1 menunjukkan keluasan daerah Lahad Datu.
       
          Sehingga tahun 1985, jumlah keluasan kawasan tanah Lahad Datu ialah 6,500 kilometer persegi (687,372 hektar). Lahad Datu memiliki enam mukim iaitu mukm Tungku,mukim Silabukan,mukim Segama,mukim Dam, mukim Bandar dan mukim Silam Kawasan di sebelah barat adalah bergunung ganang dan dikenali tanah tinggi Segama. Tanah-tanah tinggi ini diairi oleh Sungai Segama. Di bahagian timur tanah tinggi Segama terdapat kawasan tanah rendah yang dikenali sebagai Lembah Danum. Bahagian timur Lahad Datu dibentuk oleh selatan Semenanjung Dent. Kawasan berbukit bukau dengan Bagahak Renge mencapai ketinggian 760 meter. Selain itu, daerah ini memiliki tanah pamah dan tanah yang bercerun sesuai dijadikan kawasan pertanian. Kawasan Lahad Datu terlindung daripada ancaman ribut kerana Pulau Sakar yang mengelilingi Lahad Datu serta  memiliki iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

2.3 Populasi penduduk
Populasi Penduduk Lahad Datu pada peringkat awal sukar diketahui kerana tidak ada bancian awal yang dilakukan. Bagi penduduk Sabah bancian penduduk pertama kali dilakukan oleh NBCC  pada tahun 1891 iaitu lebih kurang 67 000 orang. Seterusnya bancian telah di telah dilakukan pada tahun 1901 dan 1911 iaitu 104,157 dan 214,279 masing-masing. Namun bancian ketiga-tiga tahun ini tidak lengkap kerana ketika itu, NBCC  belum menerokai kawasan pedalaman.

Jadual 2.1: Bancian penduduk Lahad Datu mengikut  tahun
Tahun
1970
1980
1991
Lahad Datu
29 135
51 772
118 272
Sumber: diubahsuai daripada Buku Tahunan Perangkaan Sabah 1992,Jabatan Perangkaan Malaysia.

          Bancian bagi penduduk Lahad Datu selepas merdeka telah dilakukan pada tahun 1965, namun bancian yang dilakukan ini meliputi keseluruhan Residensi Tawau termasuk Lahad Datu,Kunak,Semporna dan daerah Tawau. Bancian ini tidak dapat digunakan untuk membandingkan bilangan penduduk Lahad Datu dari semasa ke semasa. Bancian penduduk Sabah dilakukan 10 tahun sekali. Berdasarkan jadual di atas, penduduk di Lahad Datu telah mengalami peningkatan yang mendadak iaitu 29 135 orang pada tahun 1970 kepada 51 772 orang pada tahun 1980. Seterusnya sepuluh tahun kemudian, penduduk Lahad Datu meningkat lagi iaitu kepada 118 272. Peningkatan ini dicatatkan kira-kira 50% daripada tahun 1980.
          Manakala demografi penduduk di Lahad Datu menunjukkan kepelbagaian penduduk Lahad Datu. Antara kaum utama di Lahad Datu ialah Kaum Bajau, Kaum Kadazan Dusun dan Kaum Idahan. Namun masih terdapat pelbagai lagi kaum lain di Lahad Datu seperti Suluk,Orang Sungai,Brunei,Bisaya,Tidung,Indonesia,Kadayan dan lain-lain.

Kaum Bajau
Masyarakat Bajau boleh dibahagikan kepada dua di Sabah iaitu Bajau pantai Barat dan Bajau pantai Timur. Bajau di pantai Barat merupakan suku kaum yang menunggang kuda dan hidup di kawasan pedalaman. Manakala kaum Bajau pantai timur pula golongan yang hidup di kawasan laut. Kaum Bajau salah satu  suku kaum yang terbesar di Lahad Datu yang berasal daripada Mindanao dan Basilan. Mereka juga dikenali sebagai ‘Sea gypsies’ kerana mereka mengembara di Laut. Kebanyakan mereka ini juga dikenali dengan nama ‘Samah’ kerana kebanyakan kawasan penempatan mereka terletak di sekitar pantai.
          Bajau Pantai Timur kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan,pemungut trepang dan mengumpul mutiara. Penempatan mereka termasuk di Sandakan,Lahad Datu,Tawau dan Semporna. Aktiviti mereka lebih kepada menangkap ikan, membina bot, dan perahu. Mengikut bancian tahun 1921, jumlah penduduk bajau di Sabah ialah 44,728 dan majoritinya tertumpu di Lahad Datu.[17] Pada tahun 1965, bancian yang dilakukan menunjukkan sebanyak 17 064 orang Bajau terdapat di Residen Tawau. Manakala pada tahun 1970,bilangan orang Bajau yang terdapat di Lahad Datu ialah 2807 orang. Mengikut bancian penduduk Lahad Datu berdasarkan Linguistik pada tahun 1982, kebanyakan penduduk Bajau ini boleh didapati di Tanjung Membatu dan Sungai Nyamuk (kira-kira 600 orang), Tanjung Labian(kira-kira 350 orang),Lok Buani(250 orang), Bengingod (kira-kira 499 orang), Dengan (kira-kira 353 orang), Telibas (kira-kira 422 orang), Makuau (kira-kira 100 orang), Mangkarat(kira-kira 30 orang), Tg. Membatu(30 orang),Bakapit (400 orang),Telisa i(kira-kira 600 orang) dan di Tg. Paras,Pulau Sakal, Pulau Tiga,Pilau Luok dan Teruakan iaitu kira-kira 800 orang penutur bahasa Bajau.[18]

Kaum Kadazan Dusun
Seterusnya ialah kaum Kadazan Dusun iaitu merupakan penduduk pribumi yang terbesar sekali di Sabah. Bancian tahun 1951 menunjukkan sebanyak 117 867 orang Kadazan Dusun di keseluruhan Sabah, mewakili 35.3% masyarakat Sabah. Manakala pada tahun 1965, terdapat sebanyak 2 126 orang Dusun di Residen Tawau. Pada tahun 1970, sebanyak 2 900 orang Kadazan Dusun di Lahad Datu. Di Lahad Datu, suku kaum Dusun ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu Dusun Subpan dan Dusun Bagahak(Tungku).[19] Suku kaum Dusun Bagahak boleh ditemui di Ulu Tungku(kira-kira 1200 orang) yang merupakan penduduk pribumi Tungku dan juga di Kampung di Manar (kira-kira 90 orang).[20] Manakala suku kaum Dusun Subpan boleh ditemui di Ulu Segama dan Bukit Belacan iaitu 200 orang dan 600 orang masing-masing. Jika mengikut bancian penutur suku kaum Dusun di Lahad Datu keseluruhannya ialah kira-kira 2090 orang pada tahun 1982.
          Kebanyakan orang Kadazan Dusun di Tungku masih belum beragama(Pagan) dan mereka masih mengamalkan kepercayaan dewa-dewa atau DOTO menurut bahasa mereka. Namun dengan kemasukan agama Islam yang dibawa oleh orang-orang Sulu dari Filipina dan kemasukan mubaligh Kristian, sebilangan masyarakat di sini sudah beragama Kristian dan Islam.

Kaum Idahan
Suku Kaum Idahan juga merupakan salah satu kaum Pribumi di Lahad Datu namun kaum ini jika dilakukan bancian akan dimasukkan dalam kategori “bumiputera lain-lain”. Suku kaum ini terkenal dengan aktiviti sarang burung mereka di Gua Madai. Pada tahun 1970, sebanyak 1643 orang Idahan terdapat di Lahad Datu. Suku Kaum ini boleh ditemui di Lahad Datu di Kg. Ramong dan Kg. Segangan kira-kira 498 orang. Masyarakat Idahan juga boleh ditemui di Rancangan Silabukan Peringkat 1,2 dan 3 namun mereka ini telah berasimilasi dengan penduduk lain. Selain itu jumlah suku kaum Idahan yang menetap di satu-satu tempat ialah Kg. Sepagaya iaitu kira-kira 2500 orang.[21]

2.4 Sistem Pentadbiran Peribumi sebelum kedatangan NBCC.
Sistem Pentadbiran awal di Lahad Datu bercorakkan politik Kesultanan, kerana kawasan Lahad Datu pernah dimiliki oleh Kesultanan Brunei sebelum diserahkan kepada Kesultanan Sulu. Corak pentadbiran Kesultanan Brunei  ke atas kawasan-kawasannya ialah Sultan Brunei akan mewakilkan pengiran-pengiran untuk mentadbir kawasan-kawasan jajahan Brunei. Pengiran-pengiran ini diberikan kuasa untuk memungut cukai dan juga mempunyai kuasa untuk hukuman walaupun terbatas. Namun semasa era pentadbiran Kesultanan Brunei, tidak diketahui Pengiran yang berkuasa ke atas Lahad Datu kerana tidak mempunyai rekod yang jelas. Perkampungan awal di daerah ini lebih kepada petempatan kecil di pinggir-pinggir pantai dan di Sungai Segama.[22]Hal ini kerana, sungai merupakan alat perhubungan yang penting sekali untuk memasuki kawasan pedalaman juga dijadikan petempatan.
          Sebelum kedatangan penjajah barat,  pentadbiran awal penduduk kampung lebih bergantung kepada sistem Orang Tua (O.T). Sistem ini akan memilih pemimpin dikalangkan mereka sendiri dan orang yang mereka pilih mestilah anak kelahiran Lahad Datu.[23] Proses pemilihan ini dilihat kepada ciri-ciri seperti mempunyai pengetahuan yang luas mengenai adat,keterampilan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Pemilihan ini bukanlah berasaskan keturunan namun ada anak ketua kampung yang dipilih menggantikan bapanya disebabkan mempunyai ciri-ciri seperti di atas.
          Setelah kedatangan NBCC, sistem pentadbiran ini telah diserapkan ke dalam sistem pentadbiran mereka dan diletakkan dalam hierarki yang paling bawah dalam pentadbiran mereka. Namun NBCC tidak membawa apa-apa perubahan kepada bentuk corak pentadbiran masyarakat tempatan. Hal ini kerana terdapat banyak adat-adat tempatan yang diamalkan oleh penduduk tempatan ketika itu. Pihak NBCC sendiri telah berjanji kepada penduduk tempatan bahawa akan menghormati adat istiadat penduduk setempat. Pemimpin peribumi daerah ini diberikan tugas-tugas tertentu seperti memungut cukai (cukai kepala) dan melaksanakan undang-undang adat mengikut kaum mereka. Pada masa tersebut kadar cukai kepala bagi setiap orang ialah sebanyak $1.50.[24] antara pemimpin peribumi daerah Lahad Datu padam masa tersebut ialah Dato Agasi dan Panglima Kiang (Lahad Datu),Panglima Udang (Silam), Panglima Salleh,Datu Kahar dan Sharif Jal yang mewakili suku kaum masing-masing.[25]
          Sistem politik lain yang wujud juga di daerah ini ialah Sistem Ketua Bebas(Independent Chiefdom). Pemimpin-pemimpin ini mendapat kuasa mereka melalui keperwiraan dan tokoh yang mencabar kewibawaan Sultan di daerah-daerah persisiran pantai. Sebagai contoh ialah Datu Kurunding yang memerintah kawasan Tunku menyebabkan kawasan di sekitar Lahad Datu terkenal dengan sarang lanun oleh orang-orang Inggeris pada akhir abad ke-19.[26] Penubuhan Silam sebagai pusat pentadbiran awal NBCC adalah sebagai pangkalan tentera marin untuk menghadapi kegiatan pelanunan di Tunku.[27] NBCC telah menyerang kawasan ini pada tahun lewat tahun 1883 untuk membasmi kegiatan pelanunan yang semakin bertambah di Tunku.

2.5 Pentadbiran Lahad Datu Semasa Pemerintahan NBCC
Pentadbiran NBCC membahagikan Borneo Utara kepada beberapa bahagian untuk  melicinkan pentadbiran mereka. NBCC membentuk dua residensi utama iaitu Residensi Pantai Timur yang beribu pejabat di Sandakan dan Residensi Pantai Barat yang beribu pejabat di Jesselton(kemudian dikenali sebagai Kota Kinabalu). Kemudian mereka membentuk pentadbiran kecil dibeberapa wilayah seperti Wilayah Alock, Wilayah Clarke,Wilayah Cunliffe,Wilayah Dent,Wilayah Dewhurst,Wilayah Elphinestone,Wilayah Keppel,Wilayah Martin,Wilayah Mayne dan Wilayah Myburgh. Kesemua wilayah ini berhubung terus dengan kedua-dua residensi di atas.
            Kawasan pentadbiran NBCC di bahagian pantai timur iaitu di daerah Lahad Datu dikenali sebagai Mayne Province(Wilayah Mayne). Wilayah Mayne meliputi kawasan Darvey Bay iaitu termasuk Lahad Datu dan  Silam. Manakala Elphinstone Province pula merangkumi kawasan Tawau.  Ketika itu pusat pentadbiran bagi Pantai Barat ialah di Silam yang kemudiannya Residen juga dibentuk di Lahad Datu.[28] Lahad Datu juga pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran bagi Residensi Pantai Barat sebelum pentadbirannya dipindahkan ke Tawau pada tahun 1916.[29] Perpindahan ini disebabkan Lahad Datu mengalami kebakaran yang sangat teruk. Pentadbiran NBCC telah memperkenalkan sistem Pegawai daerah atau District Officer (D.O).[30] D.O bertanggungjawab terhadap menjaga kawasan pentadbirannya termasuk kampung-kampung dan estet-estet pertanian. Pegawai Daerah juga berperanan menyediakan laporan tahunan bagi kawasan pentadbirannya untuk diberikan kepada gabenor atau residen. Majistret merupakan ketua pentadbiran utama bagi sesuatu residensi dan antara pegawai yang berkhidmat sebagai majistret  ialah A.R. Dunlop,Hasting dan C.H. Harington.[31] A.R Dunlop merupakan pegawai yang memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan Tawau dan pembentukan awal Jesselton.[32]

Jadual 2.2: Senarai Pegawai Daerah Lahad Datu semasa NBCC

Tahun
Nama Pegawai Daerah
1902
H.w.l Bunbury
1917
H.Myddelton
1921
H.S. Arrindell
1922
C.F. Skinner
1926
B.R Cole Adams
1928
A.Rutter
1933
B.W Hurrell
Sumber: Suhaira Binti Mohammad,Sejarah Lahad Datu sebelum 1941,Latihan Ilmiah,Universiti Malaya:Kuala Lumpur,2004,hlm.44

2.6 Perkembangan Ekonomi Lahad Datu
Lahad Datu menunjukkan perkembangan yang agak perlahan kerana masyarakat awal lebih menumpukan kegiatan sara diri. Namun Lahad Datu sangat terkenal pengeluaran sarang burungnya sehingga menjadi salah satu barangan perdagangan antara kepulauan Borneo, Sulu dan China. Kedatangan NBCC telah merubah corak kegiatan ekonomi di Lahad Datu dengan memperkenalkan beberapa jenis kegiatan ekonomi.
2.6.1 Sektor Pertanian
Sebelum pentadbiran NBCC, kebanyakan masyarakat Lahad Datu menjalankan kegiatan ekonomi sara diri. Mereka mengusahakan tanaman padi sawah dan padi bukit, jagung, dan ubi kayu. Mereka juga mengutip hasil-hasil hutan dan laut untuk dijual kepada pedagang-pedagang China dan kepulauan Melayu. Sewaktu kedatangan kuasa NBCC  ke Sabah, pihak NBCC  telah melaksanakan dasar baru iaitu untuk mengeksploitasikan hasil bumi Sabah untuk mengukuhkan kewangan Syarikat. Hasil-hasil hutan dan laut merupakan salah satu komoditi utama sebagai barangan untuk dieksport ke luar negara seperti Singapura, China, Hong Kong dan Eropah. Di samping itu, pelbagai cukai diperkenalkan kepada rakyat tempatan untuk menambah kewangan Syarikat. Antara cukai-cukai yang diperkenalkan ialah lesen senjata, cukai eksport, cukai kepala, cukai tanah dan cukai jualan.
          Kedatangan NBCC ke Lahad Datu telah membawa perkembangan yang pesat terhadap sektor pertanian di Lahad Datu. NBCC telah memperkenalkan pelbagai jenis tanaman kontan untuk di tanam di Lahad Datu,antaranya ialah tembakau,getah,kelapa, dan lain-lain. Daerah Lahad Datu terkenal dengan dua perkara iaitu tembakau dan emas. Pengeluaran tembakau di daerah ini tertumpu di Darvel Bay dan Segama. Di teluk Darvel , The New Darvel Bay (Borneo) Tobacco Plantations Ltd yang memainkan peranan yang penting dalam pengeluaran tembakau di Darvel Bay.
Bermula pada tahun 1912, pendapatan bagi tembakau telah meningkat kepada $1,118,219 berbanding $916,799 pada tahun lepas.[33] Pada masa ini, New Darvel Bay (Borneo) Tobacco Plantation Ltd merupakan pengeluaran tembakau yang aktif di daerah ini. Pada tahun 1920, pengeluaran tembakau di Darvel Bay mula mengalami kemerosotan. Hasil pengeluaran pada tahun ini adalah 754,498 Ibs berbanding pada tahun 1912 iaitu 1078,800 Ibs[34]. Keadaan ini disebabkan serangan haiwan perosak seperti gajah dan babi. Pada tahun 1922, pengeluaran tembakau di Darvel Bay meningkat sedikit kepada 526,103 Ibs berbanding pada tahun 1921 iaitu 518,171 Ibs, peningkatan sebanyak 7932 Ibs. Pada tahun ini eksport tembakau bagi teluk Darvel  ialah $472,519.[35]
          Selain tembakau, Getah juga merupakan salah satu tanaman penting di daerah Lahad Datu sewaktu pentadbiran NBCC. Terdapat beberapa ladang yang dibuka di daerah ini seperti The Lahad Datu Cultur Maatschappy yang mengusahakan dua jenis tanaman iaitu getah dan kelapa dengan keluasan 1841 ½ ekar.[36] Ladang-ladang ini dibawah seliaan J.W.Stoffers.Pada tahun 1921, tanaman getah di ladang ini seluas 424 ekar telah menghasilkan 53,003 Ibs.Selain itu, terdapat beberapa lagi ladang yang menjalankan penanaman getah ini seperti The Lower Segama Rubber Estates Ltd yang memiliki kawasan seluas 600 ekar.[37] Hasil keluaran getah di ladang ini adalah sebanyak 61, 740 Ibs. Pada tahun 1920, sebanyak 161, 646 Ibs getah telah dieksport keluar dengan nilai $105,070.[38] Seterusnya pada tahun 1921 sebanyak 89,540 Ibs getah telah dieksport yang bernilai $34,716.Pada tahun 1922 jumlah getah di ladang ini adalah 190,596 Ibs bernilai $59,141.[39] Namun pengeluaran getah pada tahun 1934 mula mengalami kemerosotan disebabkan serangan haiwan liar seperti babi dan gajah.
          Selain tembakau dan getah, kelapa  merupakan sumber ekonomi yang penting bagi NBCC kerana meningkatkan pendapatan kepada Lahad Datu. Kelapa mudah didapati di Lahad Datu kerana di pinggir pantai terdapat banyak deratan pokok kelapa. Kedatangan NBCC telah menjadikan kelapa sebagai sumber ekonomi komersial mereka. Kebiasaannya, hasil kelapa ini akan dieksport dalam bentuk kopra iaitu kelapa yang telah siap dipanggang dan dikeringkan. Ladang yang terlibat dalam penanaman kelapa ini ialah Ladang Lahad Datu Cultur Maatschappij. Hasil pengeluaran kelapa pada tahun 1911 ialah 906 pikul menurun kepada tahun 1912 iaitu 772 pikul.[40] Kemudiannya berlaku peningkatan permintaan yang tinggi terhadap kopra di Lahad Datu pada tahun 1917 iaitu sebanyak 25 000 pikul. Namun tiga tahun kemudian permintaan ini menyusut kepada 1240 pikul sahaja. Pada tahun 1921, permintaan terhadap kopra meningkat semula kepada 4 830 walaupun tidak dapat menyamai pengeluaran pada tahun 1917.[41] Seterusnya pada tahun 1922 pengeluaran kelapa ini meningkat lagi kepada 6520 pikul.[42]

2.6.2 Sektor Perikanan
Pada awalnya, ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat Lahad Datu adalah secara tradisional sahaja seperti menangkap ikan, memungut hasil laut, mengumpul hasil hutan seperti kayu-kayan, dan juga bercucuk tanam. Misalnya, masyarakat Bajau yang menetap di pinggir pantai atau laut kebanyakannya adalah bekerja sebagai nelayan. Lahad Datu terkenal dengan hasil lautnya seperti kima,trepang dan mutiara dan orang Bajau yang menjadi pemungut atau pengusaha utama aktiviti pengumpulan trepang. Hasil trepang ini akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum dijual kepada peniaga-peniaga Cina yang akan dieksport ke negara China. Bahan ini digunakan untuk tujuan perubatan dan kesihatan. Manakala Masyarakat Suluk pula adalah sangat terkenal dengan perusahaan mutiara dan juga mengumpul hasil laut seperti kerang sehingga mencecah berat 4 kilo ke atas. [43].Selain itu tiram juga merupakan salah satu hasil laut yang dikeluarkan oleh Lahad Datu kerana mudah didapati di kawasan Labuk Bay dan Darvel Bay. Perusahaan Tiram ini sangat menguntungkan kerana ia sejenis hidupan laut yang boleh mengeluarkan mutiara yang sangat bernilai tinggi.
          Pada kebiasaannya, mereka hanyalah mengusahakannya untuk menyara kehidupan seharian mereka sahaja. Walau bagaimanapun, mereka akan menjualkannya kepada peniaga-peniaga yang lain sekiranya terdapat lebihan. Di samping itu, mereka juga turut mengambil kayu-kayan untuk digunakan sebagai bahan api  bagi kegunaan dan juga keperluan rumah seperti memasak.  Sejak awal lagi Lahad Datu telah menjadi tempat persinggahan kapal-kapal yang kebanyakannya datang dari kepulauan Sulu. Oleh itu, sejak awal lagi Lahad Datu telah terkenal sebagai pusat pelabuhan yang terkenal pada ketika itu sehingga menjadi pusat persinggahan yang terkenal pada ketika itu.

2.6.3 Memungut Sarang Burung
Aktiviti pemungutan sarang burung juga merupakan salah satu corak ekonomi awal bagi  masyarakat Lahad Datu sebelum awal abad ke-15 lagi. Aktiviti perdagangan ini dipercayai bermula apabila terdapat beberapa masyarakat cina yang telah belayar dan singgah ke Borneo dan juga ke Filipina dalam tahun 1405. [44] Sarang burung boleh didapati di dalam gua seperti Gua Gomantong, Madai, Baturang, Taparong, Melakop dan Penunggah. Sarang burung ini akan dijadikan sebagai alat pertukaran barangan dengan pedagang lain seperti pedagang cina dan Filipina. Aktiviti perdagangan sarang burung ini telah dikesan bermula sebelum abad ke-15.[45]
          Di teluk Darvel ,suku kaum Idahan adalah pemilik sebahagian besar gua sarang burung di Madai. Mereka telah menjalankan aktiviti ini lebih daripada 30 generasi yang kebanyakkannya menetap di Kampung Segangan,Kg,Kg Binuang,Kg Bikang,Kg Tabanak dan kg. Sapagaya.Musim menuai sarang burang berbahagi kepada dua musim iaitu musim ‘Papas’(April-Mei) dan ‘Penanggoh’(Ogos-September). Dalam musim ini, masyarakat madai akan menetap di Madai sehingga habis musim menuai. Sarang burung ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu hitam dan putih. Pihak NBCC telah menetapkan pembayaran cukai 10% bagi pengeluaran dari setiap gua seperti Gua Madai, Sagalog, Baturong dan gua-gua lain.


2.6.4 Perlombongan
Kegiatan perlombongan yang terkenal di Lahad Datu ialah emas yang dimulakan oleh NBCC pada tahun 1883 di kawasan the left bank of the lower Segama. Keadaan ini dibuktikan dengan laporan Malaysia Geological Survey yang menyebut di antara tahun 1927 hingga tahun 1928, emas boleh ditemui dengan mudah di sekitar kawasan Segama. [46] Namun kuantiti yang ditemui ini belum mencukupi untuk dijadikan sebagai salah satu sumber eksport.

2.7 Kesimpulan
Daerah ini telah mengalami perubahan yang mendadak sejak Lahad Datu dijadikan sebagai pusat pentadbiran pertama bagi NBCC. Daerah ini juga telah mengalami perubahan dari segi pentadbiran,ekonomi dan lain-lain melalui zaman NBCC. Perkembangan ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada penduduk sekitar dalam pengenalan sistem ekonomi komersial dan lebih penting ialah pengenalan sistem pentadbiran. Bab seterusnya ialah membincangkan tentang sistem pentadbiran yang diamalkan di daerah Lahad Datu selepas merdeka dan perkembangan dari segi kemajuan daerah.


[1]Borneo Utara mencapai kemerdekaannya apabila bercantum dengan Tanah Melayu,Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963. Pada ketika itu juga, nama Borneo Utara telah digantikan kepada SABAH iaitu sebuah negeri baru dalam Persekutuan Malaysia.

[2] Daily Ekspress,10.9.2000, “How Sabah got its unique name”.

[3] Ibid.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6] Lee Yong Leng,Sabah: Satu Kajian Geografi Petempatan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka, 1982, hlm., 32.

[7] Warisan Sabah. Pengenalan Ringkas Sejarah dan Warisan Sabah,1992,Muzium Sabah:Kota Kinabalu,(tiada penulis) hlm. 8.

[8] Daily Ekspress  ,Ismail Mansor ,”Kawasan tapak kaji purba unik dan menarik”, 19 Mac 2000.

[9] Taburan penduduk  Sabah yang dilakukan pada tahun 1960 menunjukkan bahawa kebanyakan masyarakat lebih tertumpu kepada Bandar-bandar pelabuhan seperti di Sandakan , Kota Kinabalu , Victoria(Labuan)  dan Tawau disebabkan faktor ekonomi. Di kawasan Lahad Datu, taburan penduduknya adalah kurang kerana faktor ekonomi yang kurang dimiliki oleh daerah ini.

[10] Utusan Borneo 1417 Hijrah.

[11]Louise Fraser, Madai: A Place of Great Fortune, Borneo (Culture.Nature.Adventure), 1997, hlm.17.


[12] Ibid.

[13] Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Hakip, Sejarah Brunei,Menjelang Kemerdekaan,Dewan Bahasa dan Pustaka:Kuala Lumpur,1995,hlm. 12.

[14] Utusan Borneo,11.1.1996,”Lahad Datu Antara Lagenda dan Realiti”.

[15] Kewujudan golongan yang bergelar “datu” ini masih dapat ditemui di kebanyakan kawasan Lahad Datu. Sesetengah daripada mereka telah berjaya dan memiliki kerjaya mereka sendiri seperti Datu Nasrun bin Datu Mansur yang menjadi wakil rakyat di Lahad Datu.

[16] Profail Urus setia Daerah Lahad Datu.

[17] Suhaira Binti Mohammad,Sejarah Lahad Datu sebelum 1941,Latihan Ilmiah,Universiti Malaya:Kuala Lumpur,2004,hlm.21.

[18] Surat daripada Mohd Yaakub Abdul Hamid (Pegawai Daerah Lahad Datu) kepada Pengerusi Jawatankuasa Linguistik, Institut Linguistik SIL cawangan Malaysia,Kota Kinabalu bertarikh 15 Jun 1982.

[19] Sejak zaman dahulu orang-orang ini tinggal dan berkampung di sekeliling kaki bukit Bagahak, Tungku,oleh itu suku ini juga dikenali sebagai suku kaum Bagahak.

[20] Surat daripada Mohd Yaakub Abdul Hamid (Pegawai Daerah Lahad Datu) kepada Pengerusi Jawatankuasa Linguistik, Institut Linguistik SIL cawangan Malaysia,Kota Kinabalu bertarikh 15 Jun 1982.

[21] Ibid.

[22] Lee Yong Leng,Sabah: Satu Kajian Geografi Petempatan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka, 1982, hlm., 33.
[23] Suhaira Binti Mohammad, Sejarah Lahad Datu sebelum 1941,Latihan Ilmiah. Universiti Malaya:Kuala Lumpur, 2004,hlm. 42.

[24] Ibid, hlm.44

[25] Ibid.

[26] Sabihah Osman, Pentadbiran Pribumi Sabah Dalam Masa Pemerintahan Syarikat Berpiagam 1881-1941, 1985, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 11.

[27] Nama Tunku kini lebih dikenali sebagai “Tungku”.

[28] Beberapa daerah di sekitar Silam juga pernah berada di bawah pentadbiran Silam. Antaranya ialah daerah Semporna yang ditubuhkan pada 10 Mei tahun 1887. Namun disebabkan faktor perbelanjaan dari segi pentadbiran, pusat pentadbiran di Semporna telah diletakkan di bawah Silam. Rujuk Julia Binti Masal,Sejarah Migrasi Masyarakat Cina dan Pembangunan Ekonomi Semporna(1887-1941),Latihan Ilmiah, Universiti Malaysia Sabah,2008,hlm.35.

[29] Danny Wong Tze Ken,Community and Society,Natural History Publication(Borneo):Kota Kinabalu,2004, hlm 34.

[30] Suhaira Binti Mohammad,Sejarah Lahad Datu sebelum 1941, Universiti Malaya:Kuala Lumpur,2004, hlm 42.

[31] Danny Wong Tze Ken,Community and Society,Natural History Publication(Borneo):Kota Kinabalu,2004, hlm 34.

[32] Ibid.

[33] Annual Report State Of North Borneo,1912.

[34] Annual Report State Of North Borneo,1920.

[35] Annual Report State Of North Borneo,1922.

[36] Annual Report State Of North Borneo,1921.

[37]Ibid.hlm. 2.

[38] Annual Report State Of North Borneo,1920.

[39] Annual Report State Of North Borneo,1922.

[40] Annual Report State Of North Borneo,1912.

[41] Annual Report State Of North Borneo,1921.

[42] Annual Report State Of North Borneo,1922.

[43] Borneo Travel News, “The Suluk”, 1992, hlm.1.

[44] Suhaira Binti Mohammad, Sejarah Lahad Datu Sebelum Tahun 1941, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 2003, hlm.62.

[45] Ibid,hlm.61.

[46] Borneo Mail, “First Gold Find in Segama in 1883”, 1990.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment